Diterbitkan pada 6 Jun 2025, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Kerajaan telah memberikan pengecualian pengenaan duti setem bagi kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Januari 2025. Keputusan ini dibuat susulan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) yang diperkenalkan melalui Belanjawan 2025 dan dijadualkan untuk dilaksanakan secara berfasa mulai 1 Januari 2026.

Selaras dengan keputusan tersebut, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah mengeluarkan Rangka Kerja Audit Duti Setem (RKADS) pada 1 Januari 2025 bagi menerangkan pelaksanaan audit duti setem secara menyeluruh. Susulan itu, aktiviti audit duti setem telah dimulakan di seluruh negara oleh HASiL.

Melalui aktiviti audit duti setem serta operasi pematuhan yang dilaksanakan, antara penemuan utama oleh pihak HASiL termasuklah dokumen kontrak penggajian antara majikan dengan pekerja yang tidak disetemkan mengikut item 4, Jadual Pertama, Akta Setem 1949 dengan duti setem yang ditetapkan ialah RM10.00.

Dengan mengambil kira jumlah dokumen kontrak penggajian yang terlibat adalah tinggi dan isu ini merupakan penemuan audit baharu serta untuk mengurangkan beban majikan, Kementerian Kewangan telah membuat keputusan seperti yang berikut:

  1. Kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Januari 2025 diberi pengecualian duti setem berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada YB Menteri Kewangan di bawah subseksyen 80(1A) Akta Setem 1949 dan peremitan penalti lewat penyeteman berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949;
  2. Kontrak penggajian yang dimuktamadkan mulai 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2025 adalah tertakluk pada duti setem dan diberi peremitan penalti lewat penyeteman berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949 dengan syarat dokumen kontrak penggajian tersebut disetemkan pada atau sebelum 31 Disember 2025; dan
  3. Kontrak penggajian yang dimuktamadkan mulai 1 Januari 2026 adalah tertakluk pada kenaan duti setem dan kelewatan penyeteman kontrak penggajian akan dikenakan penalti sewajarnya.

Semua majikan dikehendaki menyemak dan mengemas kini semua dokumen kontrak penggajian yang telah dan akan ditandatangani untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan penyeteman di bawah Akta Setem 1949.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Pusat Hubungan Hasil (HCC) menerusi talian 03-8911 1000/603-8911 1000 (Luar Negara);
  2. Sembang Langsung HASiL; dan
  3. Borang Maklum Balas melalui portal rasmi HASiL menerusi pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi