Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menguatkuasakan keperluan Sijil Analisis (CoA) bagi lima jenis sayuran import, iaitu cili merah, timun, tomato, sawi dan kubis bulat bermula 1 Jun 2026.
Langkah ini dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara, khususnya dalam memastikan sayuran import yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang telah ditetapkan.
Pelaksanaan syarat CoA ini akan dijalankan secara bersepadu menerusi kerjasama antara Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di semua pintu masuk negara.
Kerjasama rapat antara semua agensi berkaitan dengannya bertujuan memastikan pelaksanaan penguatkuasaan berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan sayuran dalam negara, selain memastikan pengguna terus mendapat bekalan makanan yang selamat dan berkualiti.
KPKM turut memaklumkan bahawa kementerian kekal komited dalam memastikan tahap keselamatan, sekuriti dan kualiti makanan negara sentiasa terjamin demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai panduan permohonan Sijil Analisis (CoA) akan dimuat naik dalam laman sesawang rasmi KPKM dalam masa terdekat dan boleh dirujuk dari semasa ke semasa.