Diterbitkan pada 11 Mei 2026, 12:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Koperasi Penulis Nasional Berhad (KOPENA) akan menganjurkan pelbagai aktiviti pentas sempena penyertaannya dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026  yang berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Program “On Stage Activity” itu dijadual berlangsung pada 31 Mei dari pukul 4.00 petang hingga 6.00 petang di Aras 4, Dewan Merdeka, WTC.

Ketua Pegawai Eksekutif KOPENA, Khairul Naim Abdul Wahab berkata, program selama dua jam itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pelancaran tujuh buah buku terbitan koperasi berkenaan.

Antara buku yang akan dilancarkan termasuklah Alahai Nasib… Pak Pandak, Oyen, Si Monyet Kocel dan Begitulah Kejadian Alam karya Basari Mat Yasit, 100 Rahsia Penulisan Anekdot karya Mokhtar Omar, Sanggul Emas karya Siti Norhajar, Azalea karya Khairul Naim, serta Kumpulan Cerita Mari Bercerita bersama-sama Nenek karya Kaljit Kaur.

“Kami berharap penyertaan kali kedua ini dapat memeriahkan suasana pesta buku selain memberikan peluang kepada pengunjung membawa pulang pelbagai hadiah dan baucar menarik yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, KOPENA yang ditubuhkan pada 22 November 2022 mempunyai 55 orang ahli dan telah menerbitkan 35 naskhah pelbagai genre, termasuk buku panduan, buku umum fiksyen, buku remaja fiksyen, buku kanak-kanak bergambar dan buku mewarna.

Katanya lagi, koperasi itu turut menganjurkan bengkel penulisan, serta projek penerbitan buku bagi membimbing penulis baharu menghasilkan karya bermutu.

PBAKL yang dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia sejak tahun 1981 menghimpunkan pelbagai segmen industri perbukuan, termasuk penerbit, pengedar, pertubuhan bukan kerajaan, penulis dan peminat buku dari seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi