Diterbitkan pada 8 Mei 2026, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan Padi kepada Pesawah (IPKP) di Semenanjung Malaysia sebanyak RM200 sehektar

Langkah tersebut bertujuan mengurangkan beban kewangan pesawah yang sebelum ini perlu menanggung sendiri kos awal pembajakan. Bayaran pendahuluan itu dijadualkan mula disalurkan secara berperingkat mulai 19 Mei 2026 mengikut jadual dan pengesahan agensi berkaitan dengannya.

Pelaksanaan bantuan ini melibatkan pesawah yang berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bagi musim semasa dengan keutamaan diberikan kepada musim 1/2026. Bantuan ini hanya melibatkan pesawah di Semenanjung Malaysia.

Bagi Sabah dan Sarawak, kadar insentif kekal mengikut kadar sedia ada memandangkan pesawah di kedua-dua negeri tersebut masih menikmati subsidi diesel.

Melalui pelaksanaan ini, pesawah akan menerima bayaran pendahuluan RM200 sehektar secara sekali bayar sebelum atau semasa kerja membajak dimulakan, manakala baki RM100 sehektar akan dibayar selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan dengannya.

Bagi memastikan proses pembayaran lebih cepat dan mudah, penyaluran bantuan akan dibuat terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar selain kemudahan pembayaran tunai melalui pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi kes tertentu.

KPKM yakin langkah ini dapat membantu meningkatkan aliran tunai pesawah, mempercepat persiapan musim penanaman, serta memberikan keyakinan kepada komuniti pesawah bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi mereka pada peringkat lapangan.

Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan agenda keterjaminan makanan negara diperkukuh melalui sokongan berterusan kepada sektor penanaman padi dan kebajikan pesawah negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi