Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKedah – Projek Pembangunan Infrastruktur Asas Zon Industri Fasa 5 di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dijangka menjadi pemacu utama pelaburan teknologi tinggi negara, sekali gus memperkukuh pembangunan ekonomi di Koridor Utara.
Lawatan kerja Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir ke tapak projek tersebut memberikan tumpuan pada pelaksanaan pembangunan infrastruktur asas yang dilihat mampu menarik lebih banyak pelaburan strategik dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
Projek berkenaan telah diluluskan peruntukan sebanyak RM132.3 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) melibatkan kawasan seluas 192 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029.
Bagi tahun 2026, kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan awal pembangunan infrastruktur asas, termasuk kerja awalan di tapak projek.
Pembangunan Fasa 5 KHTP dijangka menarik pelaburan baharu bernilai RM50 bilion dan mewujudkan sebanyak 15,000 peluang pekerjaan baharu, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.
Perkembangan ini selari dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan berimpak tinggi di rantau ini.
Menurut Menteri Ekonomi, KHTP bukan sekadar kawasan industri, sebaliknya merupakan aset strategik negara yang menawarkan infrastruktur lengkap, tenaga kerja berkemahiran dan keupayaan kerajaan untuk bergerak pantas dalam menarik keyakinan pelabur.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, Malaysia perlu terus memperkukuh kelebihan sebagai destinasi pelaburan yang stabil, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran semasa.
Prestasi perdagangan negara pada suku pertama tahun 2026 yang kekal kukuh dengan jumlah perdagangan mencatat paras tertinggi bagi suku pertama turut membuktikan kekuatan asas ekonomi negara, manakala eksport elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.
Oleh itu, pembangunan KHTP perlu dilihat dalam kerangka pembangunan menyeluruh Koridor Utara yang merangkumi hubungan strategik dengan projek taman perindustrian utama seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Kedah Rubber City (KRC), Kedah Science and Technology Park (KSTP), Delapan dan Bukit Kayu Hitam Industrial Park.
Ketika ini, Kementerian Ekonomi menerusi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sedang membangunkan perancangan pembangunan ekonomi sempadan di Wilayah Utara yang dijangka memberikan impak besar kepada ekonomi negeri Perlis dan Kedah.
Selain itu, perancangan Malaysia-Thailand Border Economic Zone (MY-TH BEZ) dijangka merungkai potensi pelaburan dan kerjasama rentas sempadan yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.
Pembangunan kawasan sempadan ini juga dapat membantu menangani ketidakseimbangan pembangunan ekonomi dan pelaburan yang selama ini lebih tertumpu di Pulau Pinang dan kawasan tertentu di Kedah.
Secara keseluruhannya, pembangunan KHTP Fasa 5 mencerminkan komitmen kerajaan bagi memastikan projek strategik negara dilaksanakan secara tersusun, berfokus dan memberikan impak sebenar kepada rakyat.
Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, pembangunan berterusan dan pengukuhan pelaburan berkualiti tinggi menjadi asas penting dalam menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.