Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya meraih Pingat Gangsa bagi kategori Juara Jenama Cap Dagangan pada Anugerah Harta Intelek Negara 2026 menerusi penjenamaan Malaysia’s Best.
Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan FAMA sebagai peneraju penjenamaan agromakanan negara.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali kepada Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Mutiara, Aras 2, Menara MyIPO, PJ Sentral.
Pencapaian ini mencerminkan kejayaan FAMA dalam membangunkan dan memperkukuh penjenamaan Malaysia’s Best sebagai pengiktirafan nasional kepada keluaran pertanian tempatan yang memenuhi standard kualiti, serta keselamatan makanan mengikut piawaian domestik dan antarabangsa.
Menurut YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri, pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa usaha strategik FAMA dalam memperkasakan penjenamaan produk agromakanan tempatan berada pada landasan yang tepat.
Beliau berkata, anugerah ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada FAMA, malah turut menghargai seluruh rantaian penggiat industri agromakanan negara termasuk petani, pengeluar dan usahawan yang komited memastikan produk Malaysia memenuhi standard kualiti tertinggi.
Katanya lagi, penjenamaan Malaysia’s Best akan terus diperkasakan sebagai simbol kepercayaan dan kebolehpasaran global, sekali gus membuka lebih banyak peluang eksport, serta meningkatkan daya saing produk tempatan dalam pasaran antarabangsa. Langkah ini sejajar dengan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab agromakanan yang berdaya saing dan mampan.
Penjenamaan Malaysia’s Best yang diperkenalkan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berfungsi sebagai simbol keyakinan pengguna terhadap produk agromakanan negara.
Penjenamaan ini merangkumi kawalan kualiti menyeluruh bermula dari peringkat ladang melalui pensijilan seperti myGAP sehingga proses penggredan, pembungkusan dan pelabelan yang mematuhi Peraturan GPL FAMA.
Selain meningkatkan daya saing produk tempatan, penjenamaan ini turut menyumbang kepada peluasan pasaran eksport, khususnya bagi komoditi bernilai tinggi seperti durian Musang King, nanas, nangka dan pelbagai hasil segar lain ke pasaran global seperti China, Eropah dan Timur Tengah.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan FAMA dalam memperkasakan rantaian nilai agromakanan negara melalui strategi penjenamaan berimpak tinggi, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani, pengeluar dan usahawan tempatan.
FAMA akan terus memperluas penggunaan jenama Malaysia’s Best sebagai platform utama dalam memperkukuh imej produk pertanian Malaysia pada peringkat antarabangsa selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi hab agromakanan yang berdaya saing dan mampan.