Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Baru Selayang – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif bagi menstabilkan harga cili merah susulan penurunan ketara harga ladang di Pulau Pinang sejak awal tahun ini.
Langkah intervensi ini dilaksanakan bagi melindungi pendapatan petani dan memastikan kestabilan bekalan cili merah dalam pasaran.
Penurunan harga ini berpunca daripada lebihan penawaran akibat peningkatan hasil tuaian tempatan berikutan cuaca kering yang menggalakkan pengeluaran cili.
Keadaan tersebut telah memberikan tekanan kepada harga pada peringkat ladang, sekali gus menjejaskan pendapatan pekebun kecil.
Selaras dengan mandat untuk menstabilkan pasaran, FAMA Negeri Pulau Pinang melaksanakan beberapa langkah intervensi utama, termasuk meningkatkan pembelian terus dari ladang bagi komoditi terpilih seperti cili merah daripada satu tan kepada dua tan sehari.
Pelaksanaan Program Kontrak Pemasaran (RPKP) turut melibatkan petani di kawasan utama seperti TKPM Ara Kuda, Perda Veggie Park dan Kepala Batas bagi menyelaras bekalan dan mengurangkan pengaruh orang tengah dalam rantaian pemasaran.
Melalui program intervensi ini, FAMA turut memperluas rangkaian pemasaran menerusi Pasar Tani, Jualan Agro MADANI (JAM), Agrobazaar Kedai Rakyat serta jualan khas mingguan yang akan bermula di KOMTAR pada 8 Mei 2026.
Inisiatif ini secara tidak langsung membantu menstabilkan harga pasaran dan menyokong pendapatan petani yang terkesan akibat kejatuhan harga.
Sehingga 28 April 2026, sebanyak 99.675 metrik tan hasil, termasuk cili merah telah dibeli menerusi inisiatif intervensi FAMA bagi mengimbangi bekalan dan permintaan pasaran.
Usaha ini menunjukkan komitmen berterusan agensi tersebut bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pengeluar dengan pengguna melalui kawalan rantaian harga yang lebih cekap.
Menurut Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri, intervensi yang dilaksanakan ini susulan arahan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi membantu petani yang terkesan akibat penurunan harga, di samping memastikan kelangsungan bekalan domestik kekal stabil.
Tambah beliau, FAMA akan terus memperkukuh jaringan pemasaran, memperluas pembelian terus dari ladang dan menyediakan platform jualan yang memberikan nilai terbaik kepada semua pihak dalam rantaian bekalan agromakanan.
Selain itu, FAMA bersama-sama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Negeri, YB Dato’ Haji Rashidi Zinol pada 5 Mei 2026 di TKPM Ara Kuda bagi membincangkan isu ladang dan sokongan berterusan kepada pengusaha tempatan.
Bagi menangani ketidaktentuan harga komoditi, FAMA akan memanjangkan usaha intervensi ini ke negeri lain dan terus memainkan peranan strategik sebagai pengimbang pasaran melalui pelaksanaan intervensi yang bersasar, berimpak tinggi dan responsif terhadap situasi semasa.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu petani, malah memastikan kestabilan bekalan dan harga yang lebih adil kepada pengguna.
FAMA akan terus mengambil langkah proaktif dan praktikal bagi membantu petani menghadapi situasi turun naik harga, di samping memastikan bekalan cili merah kekal mencukupi untuk pengguna.
Usaha berterusan ini mampu menyokong kestabilan pasaran dalam jangka masa panjang dan memperkukuh daya tahan sektor agromakanan negara secara menyeluruh.