Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Panduan pelarasan perbelanjaan mengurus hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala perbelanjaan teras seperti perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan kekal diteruskan seperti yang diluluskan dalam Belanjawan MADANI 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perbelanjaan teras tersebut meliputi kementerian utama termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menerima antara peruntukan tertinggi tahun ini.
Menurut kenyataan MOF, langkah pelarasan merangkumi penangguhan penganjuran acara, pengurangan kunjungan, serta latihan ke luar negara, penjimatan utiliti, pengoptimuman rizab simpanan agensi dan penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal.
MOF menjelaskan bahawa pelarasan dibuat selaras dengan prinsip pengurusan kewangan berhemah bagi mewujudkan ruang fiskal untuk membiayai bantuan, serta subsidi bersasar, khususnya kepada golongan dan sektor rentan yang terjejas akibat krisis bekalan global.
Tambah kenyataan itu, kementerian akan terus melaksanakan langkah proaktif dan sistematik bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan, sekali gus memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi impak krisis bekalan global yang dijangka berpanjangan.
Dalam masa sama, MOF komited memastikan keupayaan tindak balas krisis terus diperkasa melalui pendekatan seimbang, termasuk menjamin kesinambungan perkhidmatan asas, mengekalkan sokongan kepada ekonomi, serta memastikan kedudukan kewangan negara kekal kukuh.