Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPasir Gudang – Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengadakan lawatan ke Pengerang Integrated Complex (PIC) dan kilang baja All Cosmos Industries Sdn. Bhd. (ACI) bagi meninjau perkembangan semasa sektor tenaga dan gas, serta industri pengeluaran baja tempatan.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh keselamatan tenaga, keterjaminan makanan dan daya tahan rantaian bekalan negara dalam suasana krisis bekalan global yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, tekanan kos input dan gangguan bekalan antarabangsa.
Di PIC, tumpuan diberikan kepada peranannya dalam memastikan kestabilan bekalan bahan api dan produk petrokimia domestik yang menjadi komponen penting dalam penghasilan produk plastik untuk kegunaan harian.
Dengan kapasiti penapisan sebanyak 300,000 tong sehari dan pengeluaran petrokimia melebihi 3.3 juta tan metrik setahun, PIC kekal memainkan peranan penting dalam menyokong keselamatan tenaga negara, memperkukuh industri hiliran dan meningkatkan keupayaan eksport produk bernilai tambah tinggi.
Lawatan ini turut meneliti kemajuan inisiatif Hab Biobahan Api di Pengerang yang selaras dengan agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Inisiatif tersebut mempunyai kesinambungan dengan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk memperluas pelaksanaan biodiesel kepada B15 sebagai langkah praktikal bagi menjamin bekalan tenaga yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Selain kepentingannya dari sudut bekalan tenaga, pembangunan PIC turut membawa limpahan ekonomi besar kepada negara melalui pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi, serta peningkatan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan sekitar.
Peranan PIC sebagai hab petrokimia utama serantau turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing di Asia Tenggara.
Sementara itu, lawatan ke ACI memberikan fokus kepada cabaran semasa industri baja tempatan, khususnya ketidaktentuan bekalan bahan mentah, kenaikan kos logistik dan tekanan harga input.
Perbincangan bersama-sama pihak syarikat tertumpu pada langkah memperkukuh daya tahan industri, termasuk mempelbagaikan sumber bahan mentah, meningkatkan kecekapan pengeluaran dan memperluas kapasiti pengeluaran bagi memenuhi keperluan domestik.
Kerajaan turut menekankan pengeluaran baja bioorganik sebagai alternatif kepada baja konvensional bagi mengurangkan kebergantungan pada input import dalam sektor pertanian.
Pendekatan tersebut membantu memanjangkan tempoh bekalan baja, terutama ketika negara berdepan dengan krisis bekalan global, selain menyokong penggunaan input pertanian yang lebih seimbang, cekap dan mampan.
Secara keseluruhannya, lawatan ke PIC dan ACI menunjukkan pendekatan kerajaan yang lebih bersepadu dalam memperkukuh sektor strategik negara melalui penggunaan sumber tempatan, inovasi industri dan kerjasama erat dengan penggiat industri.
Langkah tersebut penting bagi memastikan bekalan tenaga dan makanan negara kekal terjamin, sekali gus menyokong kesejahteraan rakyat dan ketahanan ekonomi negara.