Diterbitkan pada 21 April 2026, 11:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Ekonomi terus memperkukuh pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai platform utama bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan melalui penyediaan data bersepadu, konsisten, selamat dan boleh dipercayai bagi menyokong proses pembuatan keputusan.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Portal PADU yang telah ditambah baik dengan naratif dan hala tuju baharu kini boleh diakses oleh orang awam.

Bermula Mei 2026, kementerian juga akan mula menawarkan perkhidmatan analitik data PADU kepada agensi kerajaan menerusi portal analitik PADU bagi membolehkan analisis sosioekonomi yang lebih mendalam dilaksanakan.

Menurut beliau, perkhidmatan tersebut akan membantu agensi kerajaan merangka program sosioekonomi yang lebih tepat dan berkesan untuk memenuhi keperluan rakyat, serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Inisiatif ini turut memperkukuh pendekatan kerajaan berasaskan data dalam pelaksanaan dasar dan program pembangunan negara.

Pembangunan PADU sebagai platform tunggal maklumat profil individu dan isi rumah di Malaysia telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Jemaah Menteri pada 3 November 2023.

Projek ini melibatkan kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia dengan Jabatan Digital Negara bagi memastikan integrasi data dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Asas pembangunan PADU ialah pengintegrasian data daripada pelbagai agensi dengan maklumat yang dikemas kini oleh rakyat. Sebanyak 10.5 juta individu warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas telah mengemas kini maklumat dalam portal PADU antara 2 Januari 2024 hingga 31 Mac 2024.

Hingga April 2026, PADU mengandungi sebanyak 30.7 juta profil sosioekonomi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia hasil daripada proses pengintegrasian data secara berterusan dengan pelbagai agensi. Dengan keupayaan ini, rakyat tidak lagi perlu mengemas kini maklumat secara berulang dalam pelbagai platform kerajaan.

Keterangkuman dan ketersediaan data membolehkan PADU menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk Perkhidmatan Profil (Profile-as-a-Service), Perkhidmatan Analitik (Analytics-as-a-Service), Perkhidmatan Data (Data-as-a-Service), serta Platform Penyatuan Data (Unified Data Platform) untuk dimanfaatkan oleh agensi kerajaan.

Bermula tahun 2025, Kementerian Ekonomi menyediakan perkhidmatan profil dan data kepada agensi kerajaan selaras dengan perundangan, serta peraturan semasa yang berkuat kuasa.

Hingga Mac 2026, sebanyak 26 permohonan daripada agensi kerajaan telah diluluskan melibatkan kegunaan seperti perancangan dasar, reka bentuk program, serta semakan dan verifikasi maklumat.

Dalam aspek keselamatan data, PADU telah didaftarkan sebagai aset di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) selaras dengan Akta Keselamatan Siber 2024.

Sembilan bidang tumpuan utama turut diberikan keutamaan seperti reformasi pendidikan, kesihatan, pasaran buruh, perumahan, peningkatan tahap sosioekonomi golongan sasar, keselamatan dan pertahanan, persediaan menuju negara tua, pengurusan bencana, serta pemerkasaan GovTech ke arah pembaharuan perkhidmatan kerajaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi