Diterbitkan pada 21 April 2026, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan MADANI terus memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pelbagai langkah segera bagi membantu sektor tersebut menghadapi tekanan kos operasi susulan krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan yang semakin meruncing.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi libat urus bersama-sama PMKS diteruskan bagi mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan dan merangka langkah yang benar-benar berkesan untuk membantu perniagaan yang terkesan.

Menurut beliau, usaha itu merupakan sebahagian daripada gerak kerja berterusan Kerajaan MADANI sejak awal krisis bagi memastikan tiada segmen ekonomi dipinggirkan.

Beliau menjelaskan, konflik Asia Barat telah memberikan kesan besar kepada ekonomi global melalui gangguan bekalan tenaga, peningkatan kos logistik dan insurans, serta tekanan berterusan terhadap harga input yang ditanggung peniaga, pengilang, peladang dan pemain industri lain.

Sehubungan dengan itu, kerajaan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan setiap tindakan segera digerakkan berdasarkan maklum balas langsung daripada pemain industri.

Antara langkah utama yang diumumkan termasuklah peruntukan jaminan sebanyak RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk menyokong PMKS yang terjejas, khususnya dalam sektor pembinaan, pertanian dan agromakanan, logistik dan pengangkutan, serta pelancongan.

Jaminan bagi sektor terkesan turut ditambah baik melalui liputan pembiayaan hingga 80 peratus berbanding dengan 70 peratus sebelum ini, manakala tempoh jaminan dipanjangkan hingga 10 tahun berbanding dengan tujuh tahun.

Selain itu, SJPP akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahkan penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, serta bantuan bayaran balik secara bersasar.

Setakat ini, skim SJPP kekal menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS dengan lebih daripada 50,000 PMKS telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Kerajaan turut mengumumkan kelonggaran pelaksanaan e-invois menerusi tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi Fasa 4 hingga 31 Disember 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta. Dalam tempoh tersebut, perniagaan dibenarkan mengeluarkan e-invois disatukan tanpa dikenakan penalti.

Bagi sektor perdagangan antarabangsa, kerajaan juga mempertimbangkan pengecualian interim terhadap duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang terjejas akibat konflik dan tidak dapat melengkapkan proses eksport hingga 31 Disember 2026. Pada masa sama, keperluan untuk memudah cara perkhidmatan kastam bagi perniagaan yang terkesan akan terus dipantau dan dikaji.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil dapat membantu mengekalkan operasi perniagaan, serta melindungi pekerjaan rakyat.

Selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan bertekad memastikan bantuan disampaikan secara bersasar kepada golongan yang paling memerlukan sambil memperkukuh daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi ketidaktentuan global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi