Diterbitkan pada 21 April 2026, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdagangan Malaysia meningkat 10.4 peratus kepada RM789.85 bilion pada suku pertama 2026 berbanding dengan tempoh sama pada tahun lalu, didorong oleh pertumbuhan kukuh eksport dan import.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan eksport berkembang 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion, manakala import naik 7.7 peratus kepada RM363.31 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan RM63.22 bilion, tertinggi bagi suku pertama.

Prestasi eksport disokong oleh permintaan tinggi terhadap barangan perkilangan, khususnya elektrik dan elektronik (E&E), selain produk optik dan saintifik serta hasil galian. Sektor E&E kekal pemacu utama dengan peningkatan melebihi RM40 bilion.

Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama seperti China, Amerika Syarikat dan Taiwan mencatat pertumbuhan dua angka, manakala eksport ke pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) termasuk Hong Kong, Mexico, Korea Selatan, India dan United Kingdom turut meningkat.

Bagi Mac 2026, perdagangan meningkat 9.3 peratus kepada RM272.95 bilion dengan eksport mencecah RM148.75 bilion dan import RM124.20 bilion, menjadikan lebihan dagangan RM24.55 bilion bulan ke-71 berturut-turut sejak Mei 2020.

MITI memaklumkan prospek perdagangan kekal berdepan dengan ketidaktentuan susulan ketegangan geopolitik global, manakala Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan pertumbuhan perdagangan global lebih sederhana pada 1.9 peratus pada tahun 2026.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia menjangka eksport negara berkembang 8.6 peratus dan import meningkat sembilan peratus tahun ini. Malaysia juga memperbaik kedudukan dalam WTO 2025, mencerminkan daya tahan, serta pelibatan kukuh dalam rantaian bekalan global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi