Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan terus mempergiat usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara susulan krisis tenaga global yang semakin meruncing dan memberikan tekanan kepada kos sara hidup dan rantaian bekalan.
Bagi menghadapi situasi tersebut, tumpuan diberikan kepada pengukuhan pengeluaran tempatan, termasuk pertanian berasaskan rumah (homebased) bagi mengurangkan kebergantungan pada import dan menstabilkan harga barangan.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Ekonomi telah meluluskan pelaksanaan 20 projek baharu di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat-Usahawan Tani (IPR-INTAN) bagi tahun 2026 yang dijangka memberikan manfaat kepada 600 peserta daripada golongan B40, miskin dan miskin tegar.
Antaranya termasuklah peluasan projek IPR-INTAN di Putrajaya yang akan menambah 20 lagi peserta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 40 peserta di kawasan berkenaan.
Program IPR-INTAN yang dilaksanakan sejak Mac 2023 bukan sahaja membantu golongan sasar menjana pendapatan tambahan, malah menyokong usaha kerajaan memastikan bekalan makanan negara kekal stabil tanpa gangguan walaupun berdepan dengan krisis tenaga global.
Setakat ini, lebih daripada 2,300 peserta di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada hampir 60 projek yang dilaksanakan, termasuk peningkatan kemahiran dalam keseluruhan rantaian pertanian seperti penyemaian, penanaman, penuaian dan pemasaran hasil.
Di Putrajaya, projek tanaman cili secara fertigasi di kawasan seluas 10 ekar telah memberikan manfaat kepada 20 peserta dengan purata pendapatan bulanan sekitar RM3,000. Projek yang kini memasuki pusingan kelima itu menghasilkan lebih daripada 200 tan cili dengan nilai kira-kira RM1.5 juta.
Projek tersebut dilaksanakan di atas tanah milik Perbadanan Putrajaya (PPj) dan dikendalikan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL).
Selain itu, pelibatan sektor swasta seperti Nestlé Malaysia turut membantu dari segi pemasaran hasil, serta amalan mampan yang meningkatkan kesihatan tanah dan mengoptimumkan penggunaan input pertanian.
Kementerian Ekonomi akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, termasuk kementerian berkaitan dengannya, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta bagi memastikan usaha memperkasakan keterjaminan makanan negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.