Diterbitkan pada 9 April 2026, 18:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selayang – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui agensinya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkasakan pelaksanaan Jualan Agro MADANI (JAM) bagi membantu penjimatan rakyat sebagai langkah menghadapi impak krisis tenaga global.

Inisiatif ini dilaksanakan dengan slogan iklan “Jimat Dapur Rakyat” yang melibatkan sebanyak 2,399 sesi di seluruh negara bermula April 2026 hingga September 2026.

Program ini akan diadakan secara berterusan di premis seliaan FAMA termasuk Agrobazaar FAMA, Pusat Operasi FAMA dan lokasi strategik lain bagi memastikan capaian meluas kepada pengguna.

Pelaksanaan program ini dijalankan secara berfasa dengan Fasa 1 yang berlangsung dari April hingga Mei merangkumi 872 sesi, manakala Fasa 2 dari Jun hingga September akan dipertingkatkan kepada 1,527 sesi bagi memperluas impak kepada rakyat

Melalui Jualan Kombo MADANI dan pelbagai promosi yang ditawarkan, pengguna dijangka menikmati penjimatan harga antara 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding dengan harga pasaran tempatan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Langkah ini selari dengan komitmen Kerajaan MADANI bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan makanan dan meningkatkan akses rakyat kepada barangan asas pada harga yang berpatutan di seluruh negara, di samping menangani cabaran ekonomi semasa.

FAMA turut menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara melalui kerjasama erat dengan pengeluar, pemborong dan peruncit.

Kerjasama ini penting bagi menjamin keterjaminan makanan negara dan membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan bagi menghadapi sebarang krisis global pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi