Diterbitkan pada 3 April 2026, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Turkmenistan ke Malaysia, TYT Muhammetnyyaz Mashalov.

Pertemuan rasmi tersebut membuka ruang kepada kedua-dua negara meneroka potensi kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Pertemuan tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik sedia ada, malah memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kerjasama perdagangan dua hala.

Sehingga Disember 2025, nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dengan Turkmenistan direkodkan sebanyak RM58.74 juta melibatkan eksport produk seperti kopi, koko, teh dan rempah-ratus.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperluas akses pasaran bagi produk pertanian tempatan dan meningkatkan lagi nilai perdagangan antara kedua-dua negara.

Fokus utama perbincangan merangkumi kerjasama strategik dalam pengurusan sumber air pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui kolaborasi institusi pertanian, dan usaha pemodenan sektor pertanian secara menyeluruh.

Langkah tersebut penting bagi menangani cabaran perubahan iklim di samping memperkukuh agenda keterjaminan makanan pada peringkat global.

Dalam pertemuan tersebut, YB Datuk Seri Mohamad Sabu turut menyampaikan jemputan rasmi kepada pihak Turkmenistan untuk menyertai Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026 di MAEPS, Serdang.

Penganjuran MAHA 2026 yang bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” dijangka menjadi platform penting dalam mempromosikan inovasi dan kerjasama dalam sektor agromakanan.

Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dalam sektor pertanian, sekali gus memastikan agenda keterjaminan makanan terus diperkasakan melalui pendekatan strategik dan bersepadu.

Yang turut hadir dalam sesi kunjungan hormat tersebut ialah pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi