Diterbitkan pada 16 Mac 2026, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi penganjuran Program Jualan MADANI Raya (PJMR) 2026 yang berlangsung di Pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Program selama dua hari itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong.

Melalui program tersebut, orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, ayam, daging dan telur, selain keperluan Hari Raya Aidilfitri termasuk kuih raya, kerepek, ketupat dan rempah ratus pada harga yang lebih berpatutan.

Dalam ucapannya, YB Steven Sim menegaskan bahawa penganjuran PJMR bukan sekadar program jualan semata-mata, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha KUSKOP bersama-sama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk memperkukuh peranan koperasi sebagai operator jualan yang berdaya saing dan lebih dekat dengan komuniti setempat.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan jualan “Happy Hour” yang menawarkan potongan harga hingga 30 peratus termasuk ayam segar pada harga RM4 seekor yang menjadi tarikan utama pengunjung.

Selain itu, harga daging turut ditawarkan pada kadar RM23 sekilogram bagi membantu orang ramai membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dengan kos yang lebih rendah.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan pengagihan bubur lambuk kepada pengunjung dan petugas, serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah seperti barangan elektrik dan basikal kepada pembeli bertuah.

Penganjuran PJMR selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, di samping memastikan akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, program tersebut telah merekodkan nilai jualan terkumpul melebihi RM5 juta dan memberikan manfaat kepada lebih daripada 417,816 pengunjung di seluruh negara, khususnya golongan B40 dan miskin tegar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi