Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi memudahkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pembiayaan dalam bidang pertumbuhan baharu, di samping membuka peluang kepada pelabur untuk mengakses peluang pelaburan yang berkualiti tinggi.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semasa Hari Penglibatan MyCIF yang berlangsung di Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan tema “Modal Pemangkin untuk Impak Negara”.
Menurut SC, MyCIF memperkenalkan dua inisiatif utama. Inisiatif pertama ialah Skim Ekonomi Perak (Silver Economy), iaitu skim baharu yang bertujuan menggalakkan pelaburan dalam PMKS dan menyediakan penyelesaian untuk populasi warga emas Malaysia. Antara bidang yang diberikan tumpuan termasuklah teknologi penjagaan, penjagaan kesihatan khusus dan pembangunan kediaman warga emas.
Inisiatif kedua ialah Insentif Perkongsian Keuntungan bagi modal teroka (VC) atau ekuiti persendirian (PE) yang diperkenalkan bagi menarik urus niaga yang diterajui oleh pelabur VC dan PE pada platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF).
Melalui insentif tersebut, pelabur turut berpeluang menyertai urus niaga yang disokong oleh institusi.
MyCIF akan berkongsi 50 peratus daripada keuntungan dengan pelabur utama VC dan PE yang berjaya merealisasikan pulangan melalui penjualan atau pelupusan (exit) pelaburan berkenaan.
Menurut SC, Gobi Partners dan OSK Ventures International telah menyatakan hasrat untuk membawa urus niaga kepada pelabur ECF.
Dalam perkembangan berkaitan dengannya, peruntukan MyCIF bagi tahun 2026 turut diperkukuh apabila tambahan sebanyak RM20 juta disediakan menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM30 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Selain itu, ujarnya, Skim Keterjaminan Makanan di bawah MyCIF akan diperluas untuk merangkumi syarikat baharu dalam bidang agriteknologi. Langkah tersebut bertujuan menggalakkan pelaburan dalam inovasi yang menyokong usaha negara memodenkan sektor pertanian, sekali gus meningkatkan produktiviti dan keterjaminan makanan.
Sejak penubuhannya pada tahun 2019, MyCIF telah melangkaui RM1.5 bilion dalam pelaburan bersama. Dengan tambahan RM6.2 bilion daripada pelabur swasta, jumlah dana yang berjaya digerakkan mencecah RM7.7 bilion bagi menyokong lebih daripada 11,500 PMKS merangkumi perniagaan tradisional dan perusahaan yang berteraskan teknologi.
Menurut SC, model MyCIF merupakan yang pertama seumpamanya di Asia kerana membolehkan kerajaan melabur bersama-sama pelabur swasta dalam kempen pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan ke rakan (P2P) yang layak.
Sementara itu, Pengerusi SC, YBhg. Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, MyCIF telah memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan PMKS dengan menggalakkan pengumpulan dana melalui platform ECF dan P2P yang merupakan pembiayaan yang sukar diperoleh melalui saluran yang lebih konvensional.
“Model MyCIF memacu sinergi antara daya tahan modal awam dengan kebijaksanaan kolektif orang ramai. Saya yakin model ini berpotensi berkembang lebih jauh bagi menangani keperluan pembiayaan dan memacu pertumbuhan ekonomi,” jelas beliau.
Menurut SC, pulangan daripada pelaburan bersama MyCIF juga membolehkan geran kumulatif daripada Kementerian Kewangan (MOF) berjumlah RM290 juta dikitar semula sebanyak 5.2 kali ganda.
Hari Penglibatan MyCIF turut menampilkan siri dialog dan galeri digital yang mengetengahkan perjalanan enam tahun impak MyCIF. Acara separuh hari itu menarik lebih daripada 150 wakil daripada agensi kerajaan, firma VC dan PE, pengendali platform ECF dan pembiayaan P2P, selain komuniti PMKS.