Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2026 sebagai langkah kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem kredit negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBhg. Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pindaan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda reformasi undang-undang kepenggunaan pada tahun ini, termasuk usaha menambah baik kerangka perundangan berkaitan dengan kredit pengguna.
Menurut beliau, inisiatif tersebut melengkapi pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) yang telah berkuat kuasa pada 1 Mac 2026, manakala keperluan pelesenan dan pendaftaran bagi industri berkaitan dengannya akan bermula pada 1 Jun 2026 dengan tempoh enam bulan diberikan untuk permohonan.
Beliau menjelaskan bahawa pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 bertujuan memodenkan perjanjian sewa beli, serta memastikan keadilan kepada pengguna melalui beberapa perubahan utama.
Antara perubahan tersebut termasuklah pemansuhan penggunaan kadar sama rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 yang sebelum ini menyebabkan sebahagian besar bayaran ansuran awal digunakan untuk membayar faedah.
Sebagai ganti, pindaan tersebut memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate), iaitu faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa. Pendekatan ini menjadikan proses penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna.
Selain itu, pindaan berkenaan turut menyokong transformasi digital melalui penggunaan tandatangan digital, serta penyerahan dokumen secara elektronik dalam perjanjian sewa beli.
Pada masa yang sama, keperluan pelaksanaan usaha wajar bagi pengesahan identiti peminjam diperkenalkan bagi mengurangkan risiko penipuan.
Akta tersebut diwartakan pada 30 Januari 2026 dan pada asalnya dijangka mempunyai tempoh peralihan selama 18 bulan. Namun selepas rundingan dengan pelbagai pihak, kerajaan memutuskan untuk mempercepat pelaksanaannya kepada 1 Jun 2026.
Walau bagaimanapun, tempoh peralihan masih boleh diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi mereka dengan keperluan baharu.
Dalam pada itu, institusi perbankan melalui Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) akan menawarkan diskaun ihsan kepada pelanggan yang membuat penyelesaian awal pinjaman di bawah kaedah lama bermula 1 Jun 2026.
Langkah tersebut bertujuan memastikan baki pinjaman pelanggan yang menggunakan kaedah lama setara dengan pelanggan yang menandatangani perjanjian baharu berdasarkan kadar faedah efektif dan kaedah pengurangan baki.
Kerajaan menegaskan bahawa reformasi ini mencerminkan komitmen untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus, berintegriti, serta melindungi hak dan kepentingan pengguna.