Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan bantuan dan sumbangan berjumlah RM1.03 juta kepada koperasi dan komuniti setempat menerusi Program Coop Talk: Menteri dan Komuniti Bukit Mertajam 2026 sebagai usaha memperkukuh peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat.
Daripada jumlah tersebut, pembiayaan Tabung Modal Pusingan sebanyak RM786,420 disalurkan kepada Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad bagi mempertingkatkan aktiviti ekonomi dan keupayaan menjana pendapatan dalam kalangan anggotanya.
Selain itu, bantuan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) berjumlah RM200,000 diberikan kepada Koperasi Kariah Masjid Ibadur Rahman Kepala Batas Pulau Pinang Berhad bagi memperkasakan pembangunan rantaian bekalan dan aktiviti ekonomi komuniti.
Pada masa yang sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim turut menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk bakul makanan kepada 50 pelajar asnaf dan pekerja am sekolah bernilai RM5,000, selain bantuan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sejahtera berupa sumbangan RM1,000 dan dua unit televisyen bagi menyokong kemudahan pembelajaran.
Bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri, beliau turut menyampaikan sumbangan CSR raya sebanyak RM1,000 kepada 21 koperasi masjid aktif di Pulau Pinang dan 12 koperasi sekolah di Parlimen Bukit Mertajam dengan jumlah keseluruhan RM33,000 bagi membantu golongan B40 membuat persiapan hari raya.
Hingga 31 Disember 2025, Pulau Pinang merekodkan sebanyak 819 koperasi dengan keanggotaan seramai 171,713 orang, memiliki aset bernilai RM1.29 bilion dan menjana perolehan sebanyak RM848.90 juta.
Hal ini sekali gus membuktikan peranan signifikan gerakan koperasi dalam memperkukuh ekonomi komuniti dan menyokong pembangunan negara selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).