Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pasaran kewangan Malaysia kekal kukuh walaupun berdepan dengan ketidaktentuan keadaan antarabangsa yang semakin meruncing, termasuk peningkatan konflik di Timur Tengah, serta kebimbangan berkaitan dengan dasar tarif antarabangsa.
Perkembangan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) yang berlangsung pada Selasa lalu bagi menilai keadaan semasa pasaran kewangan negara.
Mesyuarat itu mendapati ringgit kekal antara mata wang terbaik di rantau Asia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (USD) sejak mesyuarat FMC yang terakhir pada bulan Oktober 2025.
Prestasi tersebut didorong oleh aliran masuk pelaburan yang kukuh dan komitmen kerajaan dalam mengawal perbelanjaan awam.
Walaupun ringgit mencatatkan penyusutan sebanyak 1.8 peratus berbanding dengan USD sejak akhir Februari berikutan permintaan tinggi terhadap dolar AS sebagai aset selamat, mata wang tempatan itu masih mencatatkan kenaikan kumulatif sebanyak 2.5 peratus sejak awal tahun hingga 9 Mac 2026.
Pada masa yang sama, pasaran saham tempatan turut menunjukkan daya tahan yang baik. Indeks Komposit FBM KLCI hanya mencatatkan penurunan kecil sebanyak 2.5 peratus, manakala hasil bon kerajaan 10 tahun meningkat sedikit sebanyak 11 mata asas selari dengan pergerakan pasaran bon antarabangsa.
Permintaan terhadap bon kerajaan Malaysia juga kekal memberangsangkan. Pegangan bukan pemastautin dalam sekuriti kerajaan meningkat sebanyak RM920 juta sejak awal tahun, manakala pasaran ekuiti tempatan mencatatkan aliran masuk pelaburan asing berjumlah RM1.5 bilion dalam tempoh yang sama.
Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan komitmennya untuk terus memantau perkembangan pasaran kewangan bagi memastikan keadaan pasaran kekal teratur.
FMC turut mengalu-alukan pelbagai usaha berterusan, termasuk pelaksanaan program Pelabur Pemastautin Berkelayakan (QRI), serta pelibatan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Secara keseluruhannya, FMC berpandangan pasaran kewangan Malaysia menunjukkan tahap ketahanan yang memberangsangkan disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh dan sentimen pelabur yang positif terhadap prospek pertumbuhan negara.