Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan komited untuk memperkasakan dua sektor strategik negara, iaitu industri kreatif dan ekonomi biru selepas kedua-dua bidang tersebut mendapat perhatian serius dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 1 Tahun 2026.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu meneliti dua kertas utama berkaitan dengan ekonomi jingga yang merujuk industri kreatif dan Rangka Tindakan Ekonomi Biru Malaysia.
Dalam perbincangan mengenai industri kreatif, mesyuarat mengakui sektor berkenaan masih berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk isu tadbir urus, kekurangan tenaga mahir, kemudahan infrastruktur yang belum mencukupi, kesukaran mendapatkan pembiayaan, serta kelemahan dalam perlindungan harta intelek.
Sehubungan dengan itu, mesyuarat bersetuju bahawa ekosistem industri kreatif perlu disusun semula supaya lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Kementerian Komunikasi dipertanggungjawabkan untuk merangka Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang baharu bagi menggantikan dasar sedia ada yang diperkenalkan sejak tahun 2009.
Sementara itu, perbincangan mengenai ekonomi biru menekankan kepentingan pengurusan sumber laut, kawasan pesisir pantai dan perairan daratan secara bijak dan bertanggungjawab.
Mesyuarat turut menegaskan bahawa setiap pembangunan yang dilaksanakan perlu bersifat mampan, adil kepada semua pihak dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan akan mewujudkan Rangka Tindakan Ekonomi Biru Malaysia sebagai panduan bersepadu yang menyeimbangkan tiga teras utama, iaitu pertumbuhan ekonomi, kesaksamaan sosial dan pemeliharaan alam sekitar.
Langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan pembangunan negara tidak hanya tertumpu pada sektor konvensional, malah turut memanfaatkan potensi besar dalam industri kreatif dan sumber semula jadi negara demi kesejahteraan rakyat.