Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 bermula 14 Mac hingga 28 Mac ini bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan ketika musim perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali berkata, skim tersebut dilaksanakan selama 15 hari merangkumi tujuh hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan tujuh hari selepasnya.

Menurut beliau, sebanyak 27 jenis barangan akan dikawal di bawah skim berkenaan pada tahun ini berbanding dengan 26 barangan pada tahun lalu yang meliputi keperluan asas seperti bawang, cili, daging, ikan, ayam, sayur-sayuran dan santan.

Katanya, penetapan harga maksimum dibuat berdasarkan analisis rantaian bekalan yang mengambil kira kos import, harga ladang, harga peringkat pemborong, serta trend harga runcit semasa.

“Tempoh pelaksanaan ini bertujuan mewujudkan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga, iaitu pengguna dapat menikmati harga berpatutan manakala peniaga tidak tertekan dengan tempoh kawalan yang terlalu lama,” katanya.

Pelaksanaan skim tersebut juga mengambil kira pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta pemain industri bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang tempoh kawalan harga.

SHMMP Aidilfitri 2026 akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal harga dan mengelakkan aktiviti pencatutan dalam pasaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi