Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu mengumumkan pengeluaran Perintah Khas bagi membolehkan pembahagian keuntungan Pertubuhan Peladang bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024 dilaksanakan sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Keputusan tersebut membolehkan agihan keuntungan berjumlah RM25.8 juta kepada anggota pertubuhan peladang di seluruh negara sebagai langkah memastikan kebajikan dan hak anggota tidak terjejas, khususnya menjelang musim perayaan.
Menurut kenyataan media Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatat keuntungan sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan 2024, iaitu pencapaian tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 1972.
Walau bagaimanapun, disebabkan penggantungan yang masih berkuat kuasa, Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan, sekali gus menjejaskan proses agihan keuntungan kepada anggota mengikut tatacara biasa.
Sehubungan dengan itu, Menteri menggunakan kuasa di bawah Seksyen 27(2) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109] untuk mengeluarkan Perintah Khas bagi membolehkan agihan keuntungan dilaksanakan secara sah dan teratur.
Melalui langkah tersebut, sebanyak 212 Pertubuhan Peladang di seluruh negara dikenal pasti layak melaksanakan pembahagian keuntungan yang melibatkan jumlah keseluruhan dianggarkan RM25.8 juta. Agihan itu dijangka memberikan manfaat secara langsung kepada lebih daripada 400,000 anggota peladang di seluruh negara.
YB Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira kepentingan anggota peladang agar hak mereka tidak terjejas susulan isu tadbir urus yang sedang ditangani.
Menurut beliau, Perintah Khas berkenaan merupakan langkah sementara yang hanya terpakai bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024. Tatacara lanjut berkaitan dengan pelaksanaan pembayaran agihan keuntungan akan dimaklumkan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam masa terdekat.