Diterbitkan pada 10 Mac 2026, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal Keempat 2026–2030 bagi memperkukuh ekosistem kewangan negara, memudahkan syarikat mendapatkan pembiayaan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

Pelan induk tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Isnin.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Kewangan, YB Liew Chin Tong.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pasaran modal perlu berperanan sebagai tulang belakang kepada kemajuan ekonomi negara. Menurut beliau, pasaran modal negara mesti menjadi pemacu kepada peralihan ekonomi dengan menyediakan laluan yang bermakna kepada syarikat untuk mendapatkan pembiayaan secara cekap, berkembang dengan yakin dan berinovasi dengan tujuan yang jelas.

Pelan induk berkenan memberikan tumpuan kepada empat perkara utama, iaitu memperkukuh capaian pembiayaan, menyokong pertumbuhan perniagaan, menjadikan kelestarian alam sekitar sebagai pemacu nilai, serta memperluas penyertaan ekonomi rakyat.

Selain itu, pelan tersebut turut selaras dengan agenda transformasi ekonomi negara yang sedia ada, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan meningkatkan pelibatan bumiputera dalam pasaran modal, termasuk membantu syarikat berpotensi berkembang menjadi syarikat tersenarai awam sebagai langkah membina ekonomi yang lebih adil dan menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, Malaysia juga berhasrat menerajui inovasi kewangan Islam pada peringkat antarabangsa dengan meneroka pembiayaan berasaskan wakaf dan model pembiayaan sosial Islam bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Pelan induk ini dilihat sebagai kesinambungan kepada kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan hampir tiga tahun lalu, yang menekankan nilai kesaksamaan, kelestarian dan kemajuan bersama untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

Kredit Foto: Facebook Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi