Diterbitkan pada 5 Mac 2026, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran edisi ke-32 Malaysian International Furniture Fair (MIFF) terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama industri perabot di rantau Asia.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBhg. Dato’ Razali Mohamad yang mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi merasmikan pameran perdagangan perabot antarabangsa yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Sebagai platform global yang menghubungkan pengeluar tempatan dengan pembeli antarabangsa, MIFF memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan eksport industri perkayuan negara.

Industri ini kini kekal sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada eksport komoditi Malaysia dengan nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu melebihi RM20 bilion setahun.

Daripada jumlah tersebut, perabot kayu menyumbang sebanyak 43.1 peratus, sekali gus mencerminkan kekuatan Malaysia dalam pengeluaran produk bernilai tambah tinggi.

Produk perabot buatan Malaysia terus mendapat permintaan kukuh dalam pasaran antarabangsa utama seperti Amerika Syarikat, Timur Tengah, Australia dan negara ASEAN.

Permintaan tersebut didorong oleh kualiti produk, reka bentuk yang inovatif dan pematuhan terhadap piawaian kelestarian global, termasuk pensijilan kayu yang diiktiraf antarabangsa.

Kerajaan melalui KPK menyasarkan nilai eksport kayu mencecah RM32.8 bilion menjelang tahun 2030 selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Sasaran tersebut akan dicapai melalui peningkatan produktiviti, pengukuhan rantaian bekalan dan peluasan pasaran eksport baharu.

Bagi menyokong agenda tersebut, kementerian bersama-sama agensi berkaitan dengannya seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) akan terus mempergiat usaha memperluas akses pasaran global, menggalakkan inovasi reka bentuk dan memastikan pematuhan terhadap amalan kelestarian dalam industri perkayuan negara.

MIFF juga berperanan sebagai platform penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, di samping menarik kehadiran pembeli dari lebih 100 negara setiap tahun.

Pameran ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan nilai eksport dan mengukuhkan jenama Malaysia sebagai pengeluar perabot berkualiti tinggi pada peringkat global.

Kredit Foto: Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perladangan dan Komoditi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi