Diterbitkan pada 5 Mac 2026, 14:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh sokongan kepada usahawan mikro di Pulau Pinang dengan menyalurkan pembiayaan menerusi Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) bagi membantu peniaga kecil memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan.

Sehingga 4 Mac 2026, sebanyak 357 permohonan diterima dengan jumlah kelulusan hampir mencecah RM2.5 juta, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi dalam kalangan peniaga bazar dan perniagaan kecil di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong turut turun padang ke Uptown Bandar Perda bagi bertemu dan menyantuni penerima, serta meninjau perkembangan perniagaan mereka.

Dalam lawatan tersebut, beberapa peniaga menerima cek cura bagi pembiayaan RM30,000 sebagai simbolik penyaluran dana. Antaranya termasuklah Encik Mohd Rahim Ibrahim yang mengusahakan perniagaan pakaian jean, Encik Mohamad Afif Mohamad Salim yang berniaga pakaian dan Encik Moktar Daud yang menjalankan perniagaan cermin mata.

Encik Mohd Rahim Ibrahim menerima cek cura daripada YB Steven Sim Chee Keong.
Encik Mohamad Afif Mohamad Salim menerima cek cura daripada YB Steven Sim Chee Keong.

Pembiayaan ini dimanfaatkan untuk menambah stok bagi memenuhi permintaan tinggi sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal.

Encik Moktar Daud menerima cek cura daripada YB Steven Sim Chee Keong.

KUSKOP memberikan jaminan bahawa proses birokrasi akan diminimumkan dan penyaluran dana dipercepat bagi memastikan usahawan dapat memanfaatkan peluang perniagaan secara optimum sepanjang musim perayaan.

Di bawah Skim BARAKAT, pembiayaan sehingga RM30,000 ditawarkan dengan kadar keuntungan rendah, iaitu tiga peratus setahun dan tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan.

Pemohon tidak diwajibkan membuat simpanan, namun perlu mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Permohonan dibuka sehingga 15 Mac 2026 dan peniaga diseru agar merebut peluang ini sebelum tarikh tutup.

Skim ini terbuka kepada bumiputera dan warganegara Malaysia berumur antara 18 tahun hingga 65 tahun termasuk usahawan TEKUN Nasional sedia ada tertakluk pada jumlah keseluruhan pembiayaan tidak melebihi RM100,000.

Pelaksanaan Skim BARAKAT mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan usahawan mikro, serta membantu mereka meningkatkan pendapatan dan memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan.

Kredit Foto: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi