Diterbitkan pada 14 Februari 2026, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Permintaan domestik Malaysia kekal kukuh dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat (S4 2025) mencatat pertumbuhan 6.3 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awalan.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), momentum berkenaan mendorong pertumbuhan keseluruhan KDNK tahun 2025 kepada 5.2 peratus, sekali gus melangkaui unjuran rasmi kerajaan antara empat peratus hingga 4.8 peratus.

Kerajaan MADANI juga berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal dengan mencatat 3.7 peratus pada tahun 2025 berbanding dengan unjuran awal 3.8 peratus.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa indikator makroekonomi yang kukuh turut memberikan manfaat kepada rakyat. Antaranya termasuklah kadar pengangguran terendah dalam tempoh lebih sedekad, iaitu 2.9 peratus dan kadar inflasi yang rendah pada 1.4 peratus sepanjang tahun 2025.

Beliau berkata, penjimatan hasil reformasi fiskal membolehkan kerajaan memperuntukkan semula dana kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain meneruskan komitmen terhadap pelaksanaan projek infrastruktur awam yang meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, penyampaian rangka kerja dasar yang jelas seperti di bawah inisiatif Ekonomi MADANI, serta pelaksanaan reformasi berterusan telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Perkembangan ini dicerminkan melalui pengukuhan nilai ringgit sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, peningkatan pelaburan langsung asing dan pencapaian paras tertinggi indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI dalam tempoh tujuh tahun.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh leka dalam mendepani cabaran global dan ketegangan perdagangan yang semakin meruncing.

Oleh itu, Malaysia perlu kekal berada pada landasan reformasi Ekonomi MADANI dengan menjadikan tahun 2026 sebagai medan memperteguh tekad untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi, membanteras rasuah, meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan.

MoF memaklumkan bahawa ekonomi negara dijangka kekal stabil pada tahun 2026 disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, penggunaan isi rumah yang kukuh dan momentum pelaburan yang berterusan.

Aktiviti pelancongan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, serta pelaksanaan kenaikan gaji minimum dan pelarasan gaji penjawat awam dijangka terus mengukuhkan perbelanjaan pengguna.

Belanjawan 2026 akan meletakkan asas kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (2026–2030), serta dasar utama lain bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Pada masa yang sama, kerajaan akan terus berpegang pada disiplin fiskal bagi memastikan kemampanan jangka masa panjang kewangan negara sambil menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi