Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melancarkan Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian tersebut selaras dengan peranan KPDN dalam mewujudkan ekosistem perdagangan dalam negeri yang mampan dan progresif, khususnya bagi memastikan pasaran yang adil, sihat dan melindungi kepentingan pengguna.
Menurut beliau, kajian berkenaan penting bagi menilai struktur pasaran dan amalan perniagaan dalam sektor ekonomi digital yang berpotensi memberikan kesan terhadap ekosistem persaingan, pilihan pengguna, harga barangan dan perkhidmatan, selain implikasi terhadap percukaian di Malaysia.
Beliau berkata, kajian selama 18 bulan yang bermula Julai 2024 itu memfokuskan empat bidang utama, iaitu sistem pengendalian mudah alih dan perkhidmatan pembayaran; platform e-dagang runcit; perkhidmatan pengiklanan digital; dan agensi pelancongan dalam talian (OTA).
Tambah beliau, aspek privasi dan perlindungan data turut diberikan perhatian dalam keempat-empat bidang tersebut memandangkan kepentingannya terhadap pengguna dan kelestarian ekosistem digital.
“Antara dapatan kajian menunjukkan terdapat amalan tertentu oleh platform digital yang berpotensi menjejaskan persaingan yang adil dan seterusnya memberikan kesan kepada kos sara hidup rakyat, serta daya saing perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS),” jelas beliau.
Menurut beliau, amalan tersebut termasuk struktur komisen yang tinggi, terma kontrak yang bersifat menyekat, tahap ketelusan terhad dalam mekanisme penetapan harga, serta kawalan ke atas data pengguna.
Sehubungan dengan itu, MyCC mencadangkan beberapa tindakan konkrit seperti penubuhan pasukan khas pasaran ekonomi digital di bawah pendekatan keseluruhan kerajaan (whole of government) bagi membolehkan kerajaan menangani jurang pengawalseliaan ekonomi digital dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, kajian tersebut menzahirkan keperluan untuk mempergiat tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Persaingan 210 terhadap agensi pelancongan dalam talian melalui kerjasama rapat antara MyCC dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Selain itu, kajian berkenaan turut mendapati keperluan untuk menambah baik kaedah percukaian digital bagi memastikan platform digital menyumbang secara adil kepada pembangunan negara. Data kutipan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital (SToDS) menunjukkan peningkatan kepada RM1.62 bilion pada tahun 2024 berbanding dengan RM802 juta pada tahun 2021.
Namun demikian, beliau berkata, kajian tersebut menganggarkan wujud jurang potensi sumbangan cukai tahunan yang signifikan berikutan perbezaan kadar cukai antara platform digital dengan perniagaan tempatan.
Secara keseluruhannya, MyCC mengemukakan 18 cadangan dasar komprehensif yang merangkumi pengukuhan rangka kerja kawal selia, peningkatan ketelusan dan akses data, serta pelaksanaan inisiatif strategik bagi melindungi kepentingan pengguna dan PKMS dalam ekosistem digital.
Menurut beliau, kesemua cadangan tersebut boleh dijadikan asas oleh semua pihak berkepentingan, khususnya pembuat dan pelaksana dasar untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan ekonomi digital Malaysia berkembang secara adil, inklusif dan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat dan negara.