Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh ekosistem kewangan hijau negara untuk tahun 2026.
Pengumuman itu dibuat susulan mesyuarat ke-16 Jawatankuasa Bersama mengenai Perubahan Iklim (JC3) yang diadakan pada 29 Januari 2026 bertujuan menilai semula kemajuan dan menetapkan keutamaan strategik bagi tahun ini.
Antara tumpuan utama JC3 termasuklah pembangunan Malaysia Taxonomy, iaitu rangka kerja klasifikasi kebangsaan yang konsisten dan menyeluruh bagi kewangan mampan, serta selaras dengan ASEAN Taxonomy.
Menurut kenyataan bersama BNM dan SC, panggilan untuk Maklum Balas mengenai reka bentuk dan skop Malaysia Taxonomy akan dikeluarkan pada akhir Februari ini bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan berkaitan dengan aspek penerapan dan pelaksanaannya.
JC3 turut meneliti kemajuan Climate Finance Innovation Lab (CFIL) yang telah berjaya merekodkan 30 projek setakat Januari 2026 dengan keperluan pembiayaan melebihi RM4 bilion.
Penolong Gabenor BNM dan Pengerusi Bersama JC3, YBrs. Puan Madelena Mohamed berkata, CFIL menekankan kepentingan penyedia modal yang pelbagai untuk merangka struktur pembiayaan inovatif bagi projek berkaitan dengan iklim yang mungkin belum memenuhi kriteria risiko dan pulangan pembiayaan tradisional.
Beliau menegaskan tanpa kerjasama yang erat bagi memperlancarkan perkongsian antara sektor swasta dan awam dengan penderma, projek penting untuk mencapai matlamat kelestarian negara berisiko terus berdepan dengan kekangan pembiayaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kemampanan SC dan Pengerusi Bersama JC3, YBrs. Puan Neetasha Rauf menekankan bahawa usaha menggalakkan peluang pembiayaan bagi penyesuaian iklim kekal sebagai keutamaan dalam agenda JC3.
Dalam perkembangan berkaitan dengannya, Pembangunan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) bagi Panduan Institusi Kewangan telah dimulakan bertujuan memudahkan penerapan piawaian NSRF selaras dengan keperluan Lembaga Standard Kemampanan Antarabangsa (ISSB) dalam sistem kewangan tempatan.
JC3 turut memaklumkan bahawa Persidangan Serantau Dwitahunan Journey to Zero (JC3 J20) akan dianjurkan pada 28 September 2026 hingga 29 September 2026 di Sasana Kijang. Persidangan dwitahunan itu akan memberikan tumpuan pada langkah konkrit untuk mempercepat tindakan dalam bidang kewangan iklim dan alam semula jadi.