Diterbitkan pada 6 Februari 2026, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak RM150 juta lebihan dana daripada Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun 2025 yang tidak dituntut atau tidak digunakan akan diagihkan semula bagi memenuhi keperluan golongan tumpuan.

Timbalan Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan data tahun 2025, hampir 5.6 juta penerima SARA bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah menggunakan Mykad untuk membeli barangan asas di premis berdaftar, sekali gus mencatatkan kadar penggunaan 99 peratus. Nilai transaksi perbelanjaan di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion daripada keseluruhan peruntukan RM5 bilion.

Beliau berkata, bagi penghargaan secara sekali beri (one-off) pula, lebih daripada 21 juta rakyat Malaysia membuat perbelanjaan, iaitu 96 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima dengan nilai transaksi melebihi RM2.05 bilion. Kenyataan itu disampaikan ketika sesi persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut beliau, lebihan dana berkenaan akan disalurkan kepada empat golongan di bawah jagaan kementerian berkaitan dengannya. Antaranya termasuklah penghuni pusat perlindungan, khususnya mangsa keganasan rumah tangga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); dan pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar berkeperluan khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dua lagi peruntukan melibatkan pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain penubuhan dan pengukuhan bank makanan dapur siswa dengan peruntukan khusus RM15 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan bahawa pengagihan semula dana ini bukan sahaja memastikan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan awam, malah memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.

Keutamaan kepada golongan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU dan pesakit miskin mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak RM15 bilion diperuntukkan bagi STR dan SARA pada tahun ini berbanding dengan RM10 bilion pada tahun 2024, sekali gus memanfaatkan lebih daripada lapan juta penerima.

Bantuan itu, khususnya SARA disifatkan sebagai mekanisme bantuan bersasar bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup.

Pada 9 Februari 2026, pelaksanaan SARA untuk semua melibatkan bantuan sekali beri RM100 melalui Mykad akan bermula dengan peruntukan RM2.2 bilion. Inisiatif itu dijangka memanfaatkan semua warganegara berumur 18 tahun ke atas dan akan dikreditkan secara automatik dalam Mykad tanpa perlu membuat permohonan.

Penggunaan bantuan SARA sah hingga 31 Disember 2026, manakala semakan kelayakan boleh dibuat mulai 5 Februari 2026 melalui portal www.sara.com.my.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi