Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan melalui sebuah kenyataan bahawa sebanyak 17,188 orang pembayar cukai yang sebelum ini didapati tidak mematuhi pengemukaan borang nyata cukai pendapatan (BNCP) telah tampil mengemukakannya dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM1.4 billion yang menyumbang kepada hasil cukai sebanyak RM290 juta.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, HASiL telah mengenal pasti pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan untuk tindakan penguatkuasaan, sekali gus mengekalkan keadilan terhadap pembayar cukai yang mematuhi perundangan percukaian.
Lebih daripada 500,000 kes berpotensi telah dikenal pasti menunjukkan corak keupayaan kewangan yang tinggi tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk tiada rekod pelaporan pendapatan kepada HASiL.
Melalui pendekatan ini, HASiL telah menjalankan semakan audit dan mengeluarkan peringatan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka.
Sejak pelaksanaan e-Invois mulai 1 Ogos 2024, sebanyak 184,325 orang pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran sebanyak 979 juta e-Invois secara keseluruhan.
Perkembangan ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah transformasi untuk mendigitalkan operasi perniagaan serta memastikan transaksi direkod atau disimpan secara lebih teratur sama ada di pihak penjual dan pembeli.
Sebagai agensi pentadbir cukai langsung negara, HASiL komited memberi sokongan penuh kepada Kerajaan bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan melapor dan membayar cukai dengan sewajarnya.
Dengan gabungan pendekatan berasaskan data dan teknologi terkini, HASiL sentiasa memastikan cukai dipungut secara adil dan saksama kepada golongan yang layak serta berupaya mengesan sebarang ketidakpatuhan.
Sehubungan dengan itu, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.