Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Pengukuhan nilai ringgit mencerminkan tahap keyakinan pelabur, kestabilan dasar negara, kekuatan institusi, serta keupayaan modal insan Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Seri R. Ramanan.
Beliau berkata, sesebuah negara hanya mampu mengekalkan kekuatan mata wang sekiranya produktiviti buruh meningkat, kemahiran tenaga kerja diperkasa, serta tadbir urus dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Menurutnya, pembangunan tenaga kerja berkualiti menjadi antara teras utama dalam usaha memperkukuh asas ekonomi negara dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berperanan sebagai pemangkin pembangunan modal insan.
“Kementerian memberikan tumpuan kepada latihan kemahiran berimpak tinggi, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penguasaan kemahiran digital, serta adaptasi teknologi baharu selari dengan keperluan industri masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, agenda reformasi ekonomi kerajaan MADANI yang berpaksikan ketelusan, integriti dan pembangunan insan menjadi asas penting dalam membina semula keyakinan terhadap ekonomi negara, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan ringgit.
Tambahnya, pengukuhan ringgit bukan sekadar isu kadar pertukaran mata wang, sebaliknya berkait rapat dengan pembinaan ekonomi mampan yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkualiti dan pendapatan yang lebih baik.