Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem 2026 akan dilaksanakan selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.
Program ini susulan pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan sempena Amanat Tahun Baharu 2026 pada 5 Januari lalu.
PKPS Duti Setem 2026 melibatkan semua surat cara yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 dan layak menerima pengecualian penalti di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949.
Dalam tempoh program, penyeteman dan bayaran duti setem hendaklah dibuat antara 1 Januari hingga 30 Jun 2026. Penalti akan dikecualikan secara automatik tanpa perlu permohonan rayuan, namun program ini tidak terpakai bagi kes yang melibatkan unsur fraud.
HASiL turut menjelaskan bahawa surat cara yang disetemkan di bawah PKPS Duti Setem 2026 tidak akan diaudit, namun pembayar duti masih tertakluk kepada audit bagi surat cara lain yang tidak disetemkan di bawah program ini.
Orang ramai disaran mengambil peluang menyertai PKPS Duti Setem 2026 bagi mematuhi kewajipan duti setem, serta menyokong kemampanan fiskal negara.