Diterbitkan pada 23 Januari 2026, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin menerima kunjungan hormat daripada TYT Manabu Nagai, Parliamentary Vice Minister of Land, Infrastructure, Transport and Tourism of Japan bagi memperkukuh kerjasama pertanian.

Sesi pertemuan tersebut turut disertai oleh TYT Noriyuki Shikata, Duta Besar Jepun ke Malaysia.

Kunjungan berkenaan mencerminkan hubungan kerjasama yang berterusan, serta perkongsian erat antara Malaysia dengan Jepun dalam bidang hortikultur, florikultur dan pembangunan pertanian.

Hubungan perdagangan pertanian antara kedua-dua negara kekal kukuh dengan nilai perdagangan direkodkan sebanyak RM10.17 bilion bagi tempoh Januari 2025 hingga Oktober 2025, sekali gus memperlihatkan peranan Jepun sebagai rakan strategik penting Malaysia dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan global.

Kunjungan TYT Manabu Nagai ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut bertujuan menyampaikan jemputan rasmi Kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk menyertai International Horticultural Expo 2027 atau GREEN×EXPO 2027 yang akan berlangsung di Yokohama, Jepun.

Bertemakan “Scenery of the Future for Happiness”, ekspo tersebut bertujuan mengetengahkan inovasi pertanian yang menekankan kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan.

Penganjuran ini turut terbuka kepada pemain industri dalam sektor hortikultur, buah-buahan dan agriteknologi digital.

Dalam pertemuan itu, YB Timbalan Menteri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun atas jemputan yang diberikan, serta menghargai pelibatan aktif negara tersebut dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) sebelum ini.

Beliau turut menyampaikan jemputan kepada pihak Jepun untuk menyertai MAHA 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026 di MAEPS, Serdang.

MAHA 2026 yang bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” dijangka menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama strategik, pertukaran teknologi dan peluasan pasaran dalam sektor pertanian antara Malaysia dengan rakan antarabangsa.

Yang turut hadir sama dalam sesi ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob dan pegawai kanan KPKM.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi