Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.7 peratus pada suku tahun keempat 2025 berdasarkan anggaran awalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, unjuran tersebut membawa kepada pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.9 peratus bagi keseluruhan tahun 2025, sekali gus menghampiri kadar pertumbuhan 5.1 peratus yang direkodkan pada tahun 2024.
Beliau menjelaskan bahawa pertumbuhan kukuh pada suku tahun keempat dipacu oleh prestasi berterusan sektor perkhidmatan yang berkembang 5.4 peratus berbanding dengan lima peratus pada suku tahun ketiga tahun 2025, selain sektor pembuatan yang mencatatkan pertumbuhan enam peratus berbanding dengan 4.1 peratus pada suku sebelumnya.
Menurut beliau, sektor pembinaan terus mengekalkan pertumbuhan dua digit pada kadar 11.9 peratus berbanding dengan 11.8 peratus pada suku ketiga tahun 2025, manakala sektor pertanian merekodkan peningkatan ketara kepada 5.1 peratus berbanding dengan pertumbuhan marginal 0.4 peratus pada suku sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh pengeluaran kelapa sawit yang lebih tinggi.
Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan peningkatan 1.1 peratus daripada 9.7 peratus pada suku ketiga tahun 2025 berikutan pengeluaran minyak mentah dan peluwap yang lebih perlahan.
Tambah beliau, prestasi ekonomi negara turut disokong oleh pengukuhan berterusan permintaan domestik.
“Perkembangan aktiviti pelancongan semasa cuti umum dan cuti persekolahan, peningkatan perbelanjaan ke atas barangan berkaitan dengan persekolahan susulan perubahan kalendar akademik tahun 2026, perbelanjaan sempena perayaan Deepavali dan Krismas, keadaan pasaran buruh yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan telah menyumbang kepada pengukuhan perbelanjaan isi rumah,” jelas beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menyaksikan penganjuran ratusan mesyuarat, persidangan dan pelbagai aktiviti antarabangsa berskala besar yang berlangsung di bandar utama negara.
Selain itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung pada suku keempat tahun 2025 bersama-sama pelbagai acara dan peristiwa lain secara langsung membantu merancakkan aktiviti ekonomi negara pada suku berkenaan.