Diterbitkan pada 17 Januari 2026, 11:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama-sama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menganjurkan Ekspo Agrikomoditi: Women in Halal Industry sebagai platform strategik bagi memperkasakan pelibatan wanita dalam rantaian nilai industri halal dan sektor agrikomoditi negara.

Ekspo berkenaan melibatkan penyertaan agensi di bawah KPK, iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), serta Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC). Pelbagai inisiatif, produk dan peluang keusahawanan dalam industri agrikomoditi halal dipamerkan sepanjang ekspo ini.

Majlis perasmian ekspo disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir ialah Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menzahirkan komitmen kementerian masing-masing dalam menyokong pembangunan industri halal secara menyeluruh melalui penggubalan dasar, galakan pelaburan dan kerjasama strategik antara agensi.

Penganjuran Ekspo Agrikomoditi: Women in Halal Industri ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem industri halal negara, di samping membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk terlibat secara aktif sebagai usahawan, peneraju industri dan pembuat keputusan dalam sektor agrikomoditi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi