Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad merasmikan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (Palm Oil Economic Review and Outlook Seminar – R&O 2026) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Seminar yang bertemakan “Securing the Future of Palm Oil in a Changing Global Economy” menghimpunkan lebih daripada 400 peserta terdiri daripada pemain industri, ahli akademik dan penggubal dasar bagi membincangkan prestasi semasa dan hala tuju industri sawit negara.
Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa daya saing industri sawit Malaysia perlu terus diperkukuh melalui peningkatan produktiviti, pemantapan jaminan kemampanan dan penerapan inovasi secara berterusan.
Menurut beliau, keupayaan industri untuk kekal dinamik dalam mengurus jangkaan pasaran dan realiti operasi yang semakin mencabar amat penting bagi memastikan kelangsungan jangka panjang sektor tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri sawit global bukan hanya bergantung pada jumlah pengeluaran, sebaliknya dipacu oleh aspek kualiti, kredibiliti dan nilai jangka panjang yang berteraskan kebolehjejakan, pematuhan piawaian dan pembangunan produk hiliran bernilai tambah.
Seminar R&O 2026 yang berlangsung selama dua hari itu berperanan sebagai platform strategik kepada penggiat industri dan pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklumat terkini, jangkaan pasaran, serta pandangan pakar sekali gus menyokong usaha memastikan industri sawit negara terus mampan, berdaya saing dan relevan dalam persekitaran ekonomi global yang sentiasa berubah.