Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan intervensi pasaran bagi menangani isu lebihan bekalan durian dan buah-buahan bermusim yang berlaku semasa musim puncak pengeluaran ketika ini.
Langkah tersebut bertujuan menstabilkan pasaran, melindungi pendapatan pengeluar dan memastikan pengguna terus memperoleh bekalan durian tempatan pada harga yang munasabah.
Antara inisiatif utama termasuklah menganjurkan Program Jualan Agro MADANI (JAM) khusus bagi buah-buahan bermusim dan durian yang menyediakan saluran pemasaran terancang dan berkesan kepada petani, serta pengusaha durian.
Program berkenaan dilaksanakan di seluruh negara, termasuk penganjuran khas di Pasar Tani Putrajaya pada 8 Januari 2026 hingga 9 Januari 2026 sebagai usaha intervensi secara langsung bagi menyerap lebihan bekalan di pasaran.
Pelaksanaan Jualan Agro MADANI bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kejatuhan harga durian pada peringkat ladang, malah membolehkan petani dan pengusaha memasarkan hasil secara terus kepada pengguna tanpa kebergantungan pada orang tengah.
Melalui pendekatan ini, pengguna turut menikmati buah-buahan bermusim dan durian tempatan yang segar, serta berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.
Bagi memperkukuh pengurusan lebihan bekalan, FAMA turut menggerakkan rangkaian 285 saluran pemasaran di seluruh negara yang merangkumi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Medan Gerai Buah-buahan Segar dan Medan Niaga.
Selain itu, sebanyak 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara turut diaktifkan bagi melaksanakan pembelian secara langsung, khususnya durian varieti kampung, sama ada untuk jualan segar atau diproses menjadi produk nilai tambah seperti pes durian dan pulpa.
Usaha tersebut disokong oleh 14 Pusat Pemprosesan Buah-buahan Segar FAMA (PPBBSF) yang berfungsi sebagai pusat penstabilan pasaran, khususnya dalam mengurus lebihan hasil semasa musim puncak pengeluaran. Pendekatan pemprosesan ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran hasil, malah membantu mengekalkan keseimbangan bekalan dan permintaan dalam pasaran domestik.
Walaupun berdepan lebihan bekalan dalam negara, prestasi eksport durian Malaysia kekal kukuh, khususnya ke pasaran China. Lebihan bekalan yang berlaku disebabkan sebahagian hasil durian tidak memenuhi piawaian eksport dan bukannya berpunca daripada kelemahan permintaan pasaran.
Sehubungan dengan itu, peranan FAMA amat penting bagi memastikan durian yang tidak dieksport terus mempunyai saluran pemasaran yang terjamin dan berdaya maju dalam pasaran tempatan.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan intervensi pasaran durian oleh FAMA mencerminkan komitmen berterusan agensi bagi menyokong kelestarian industri durian negara, melindungi kebajikan pengeluar, serta memastikan kestabilan harga dan bekalan makanan untuk rakyat selaras dengan agenda Keterjaminan Makanan dan aspirasi Kerajaan MADANI.