Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIstanbul – Lawatan rasmi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye merupakan sebahagian daripada strategi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menyemak semula dan memperkukuh pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada agar terus relevan dan memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah berkenaan penting berikutan perubahan landskap ekonomi global yang menyaksikan semakin banyak negara memberikan tumpuan terhadap perlindungan pasaran domestik.
Menurut beliau, Malaysia perlu memastikan setiap FTA yang dimeterai, termasuk dengan Turkiye benar-benar dimanfaatkan secara optimum.
Malaysia tidak boleh hanya bergantung pada kewujudan FTA semata-mata tanpa memastikan pulangan ekonomi yang ketara kepada kedua-dua pihak. Lawatan rasmi seperti ini memberikan ruang kepada kerajaan untuk menilai keberkesanan perjanjian yang telah dimeterai secara langsung.
YB Datuk Seri Johari yang turut menyertai delegasi rasmi lawatan tiga hari itu berkata, perbincangan dua hala turut memberikan tumpuan kepada faktor yang menyumbang kepada ketidakseimbangan dalam aliran perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan rakan FTA.

Beliau menjelaskan bahawa sesi libat urus bersama-sama komuniti perniagaan di negara lawatan amat penting bagi memahami cabaran sebenar yang dihadapi pemain industri, selain mengenal pasti peluang baharu yang boleh diteroka bersama.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh FTA perlu dilaksanakan seiring dengan pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara.
Kerajaan mahu memastikan syarikat PKS tempatan mampu memanfaatkan sepenuhnya FTA sedia ada untuk menembusi pasaran antarabangsa, di samping menarik lebih banyak pelaburan asing berkualiti ke dalam negara.
Beliau turut menekankan peranan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai agensi penting dalam membantu PKS mengakses pasaran global, walaupun sumbangan sektor tersebut kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini masih berkembang pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan pertumbuhan ekonomi keseluruhan.
Secara keseluruhan, lawatan rasmi ke Turkiye mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan bagi memastikan dasar perdagangan negara kekal berdaya saing, responsif terhadap perubahan global, serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.