Diterbitkan pada 9 Januari 2026, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Kerajaan Negeri Melaka menjalinkan kerjasama strategik dengan Republik Turkiye bagi merealisasikan pembangunan projek limbungan kapal moden bernilai RM1.8 bilion, dikenali sebagai Enrique of Malacca Shipyard.

Projek tersebut dijangka menjadi pemangkin utama kepada pengukuhan industri maritim negeri itu pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek berimpak tinggi berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi Melaka sebagai hab maritim strategik, khususnya kedudukan negeri itu yang terletak di sepanjang Selat Melaka yang merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

Menurut beliau, memorandum perjanjian (MoA) bagi pelaksanaan projek tersebut akan dimeterai semasa lawatan rasmi delegasi Kerajaan Negeri Melaka ke limbungan kapal Desan Shipyard di Istanbul, Turkiye dalam masa terdekat.

“Kerjasama ini bukan sekadar pelaburan fizikal, malah melibatkan pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran dan pembangunan ekosistem industri maritim yang mampan untuk jangka panjang,” jelas beliau.

Projek Enrique of Malacca Shipyard akan dibangunkan di kawasan seluas 23.3 ekar atau lebih daripada 9.4 hektar dengan tempoh pembinaan dianggarkan mengambil masa dua tahun sebelum mula beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2028.

YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf berkata, pembangunan limbungan kapal berteknologi tinggi itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menghidupkan semula kegemilangan sejarah maritim Melaka, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu dalam rantaian bekalan industri perkapalan global.

“Melaka memiliki kelebihan strategik dari segi lokasi dan sejarah maritim. Projek ini akan memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat tempatan,” ujar beliau.

Projek berkenaan akan dilaksanakan melalui usaha sama antara SM-WEZ Corporation dan Henry The Black Shipyard Sdn. Bhd. dengan sokongan strategik daripada syarikat perkapalan terkemuka Turkiye, Desan Deniz yang mempunyai pengalaman lebih daripada 47 tahun dalam industri pembinaan dan pembaikan kapal.

Kerjasama dengan rakan strategik dari Turkiye itu dijangka membolehkan Melaka mengakses teknologi terkini dalam sektor pembinaan kapal, selain memperkukuh keupayaan tempatan dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kapal (MRO).

Antara komponen utama pembangunan limbungan kapal tersebut termasuklah kemudahan pembinaan kapal, pembaikan dan penyelenggaraan, perkhidmatan marin bersepadu, kemudahan fabrikasi, serta pembangunan elemen pelancongan maritim yang dijangka menjadi tarikan baharu kepada sektor pelancongan negeri.

Selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, projek berkenaan turut dijangka merangsang pembangunan industri sokongan seperti logistik, kejuruteraan marin dan latihan tenaga kerja mahir.

YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memastikan projek itu dilaksanakan secara berperingkat dan terancang dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar, serta pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negeri sejajar dengan agenda pembangunan Melaka yang mampan dan berdaya saing,” jelas beliau.

Beliau turut menyifatkan kerjasama Melaka–Turkiye itu sebagai simbol hubungan dua hala yang semakin kukuh, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi