Diterbitkan pada 7 Januari 2026, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, serta menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman YAB Perdana Menteri sempena Amanat Tahun Baharu 2026, khususnya langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh sektor ekonomi rakyat yang inklusif, berdaya tahan dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

KPK menyambut baik pendekatan kerajaan berhubung dengan pengecualian cukai jualan sifar peratus ke atas input pertanian terpilih termasuk baja, racun serangga dan input industri makanan ternakan yang bertujuan mengurangkan kos pengeluaran.

Langkah tersebut dilihat signifikan kepada sektor agrikomoditi negara yang bergantung pada kestabilan kos input bagi memastikan produktiviti, daya saing dan keterjaminan rantaian bekalan, khususnya dalam kalangan pekebun kecil dan pengeluar berskala sederhana.

Menurut kementerian, pendekatan bersasar itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup dan kos pengeluaran secara menyeluruh, di samping memastikan sokongan fiskal disalurkan secara berhemat dan tertumpu pada sektor strategik yang menyumbang kepada pendapatan luar bandar, serta pertumbuhan ekonomi negara.

Selaras dengan itu, KPK turut menyokong penekanan kerajaan terhadap pemerkasaan pendapatan dan kebajikan pekebun kecil melalui pelaksanaan inisiatif perlindungan sosial dan bantuan bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah MADANI, serta program Jualan Agro-MADANI.

Inisiatif ini memberikan kesan langsung kepada komuniti pekebun kecil agrikomoditi yang majoritinya berada di kawasan luar bandar dan merupakan tulang belakang pengeluaran komoditi negara.

Dalam aspek pembangunan ekonomi, kementerian turut menyambut baik penekanan YAB Perdana Menteri terhadap pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penyediaan kemudahan pembiayaan, jaminan kredit dan sokongan institusi.

Sejajar dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN2030), PMKS memainkan peranan penting dalam rantaian nilai sektor agrikomoditi, khususnya pada peringkat pertengahan dan hiliran menerusi aktiviti pemprosesan dan penghasilan produk bernilai tambah.

KPK turut menyokong pendekatan pragmatik kerajaan dalam aspek tadbir urus dan pematuhan, termasuk pelaksanaan digitalisasi, serta pemberian tempoh peralihan tanpa penalti bagi pelaksanaan e-Invois. Pendekatan ini mengambil kira tahap kesiapsiagaan industri, kos pematuhan dan cabaran transformasi digital yang dihadapi oleh pemain sektor agrikomoditi.

Kementerian menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, agensi pelaksana dan pemegang taruh industri bagi memastikan pelaksanaan langkah digitalisasi dapat dilaksanakan secara inklusif dan berkesan tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan dan pendapatan pengusaha agrikomoditi.

Sebagai kementerian peneraju pembangunan sektor agrikomoditi negara, KPK akan terus memainkan peranan aktif dalam menterjemahkan dasar dan pengumuman kerajaan kepada program dan inisiatif berimpak tinggi yang memberikan tumpuan kepada peningkatan produktiviti, kemampanan alam sekitar, kebajikan rakyat, serta daya saing industri pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Kementerian yakin bahawa langkah yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri menerusi Amanat Tahun Baharu 2026 akan memperkukuh ekosistem sektor agrikomoditi secara holistik, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif, pengagihan kekayaan yang lebih adil dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi