Diterbitkan pada 7 Januari 2026, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, khususnya berkaitan dengan usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara, mempertingkatkan tadbir urus dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut KPKM, amanat tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan keutamaan kesejahteraan rakyat melalui sistem pentadbiran yang cekap, telus dan berfokus kepada keperluan asas masyarakat.

Kementerian turut menyifatkan pengumuman pengecualian cukai jualan pada kadar sifar peratus (0%) ke atas input pengilang berdaftar bagi industri makanan ternakan, baja dan racun serangga sebagai satu langkah strategik yang amat dinantikan oleh pemain industri pertanian.

Inisiatif berkenaan dijangka mampu mengurangkan kos pengeluaran sektor agromakanan secara keseluruhan, sekali gus membantu mengekalkan harga produk pertanian pada tahap mampu milik dan menyokong agenda keselamatan makanan negara.

Selain itu, KPKM turut menyambut baik komitmen Kerajaan MADANI untuk meneruskan pelaksanaan sebanyak 5,000 Jualan Agro MADANI (JAM) pada tahun ini.

Program tersebut terbukti berkesan bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan bekalan produk segar dan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding dengan pasaran terbuka.

Kementerian menegaskan komitmen berterusan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik secara menyeluruh bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara selaras dengan dasar, hala tuju dan keutamaan yang telah digariskan oleh kerajaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi