Diterbitkan pada 7 Januari 2026, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan mengumumkan penambahan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion di bawah dana Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya kepada peminjam kali pertama.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Mesej Tahun Baharu 2026 dan disambut baik oleh BNM yang menyifatkannya sebagai langkah penting bagi membantu lebih banyak usahawan mendapatkan capaian kepada pembiayaan formal.

Dengan penambahan itu, jumlah keseluruhan dana pembiayaan PKS yang disediakan meningkat kepada RM34.9 bilion berbanding dengan RM32.4 bilion sebelum ini. Dana berkenaan disalurkan melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian dengan tumpuan kepada perusahaan mikro dan kecil yang berdepan dengan kesukaran memperoleh pinjaman.

Selain itu, BNM turut mengumumkan peralihan kepada pendekatan baharu menerusi skim jaminan kredit yang menyasarkan pembiayaan terjamin berjumlah RM10 bilion bagi memperluas liputan sokongan kepada sektor PKS.

Pendekatan ini dijangka memberikan impak lebih besar kerana mampu membantu lebih banyak PKS, termasuk pemohon pinjaman kali pertama dan usahawan baharu yang ingin memulakan perniagaan. Skim tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) dan institusi kewangan yang terlibat.

Melalui jaminan kredit yang disediakan, bank dan institusi kewangan dijangka lebih yakin untuk meluluskan pembiayaan kepada PKS yang mempunyai potensi perniagaan yang baik, namun kekurangan rekod kredit atau cagaran.

Langkah kerajaan ini dilihat sebagai sokongan strategik bagi memperkukuh sektor PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi negara dan penyumbang utama kepada peluang pekerjaan rakyat Malaysia.

PKS yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan di bawah inisiatif ini disarankan menghubungi bank atau institusi kewangan yang mengambil bahagian bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi