Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Tuan David H. Gamble bagi memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
Kunjungan tersebut disambut oleh Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak di Wisma Tani, Putrajaya.
Lawatan berkenaan mencerminkan kesinambungan hubungan diplomatik erat yang terjalin lama antara Malaysia dengan AS, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor agromakanan.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai usaha meningkatkan kerjasama perdagangan pertanian dengan matlamat memperkukuh prestasi dagangan, serta meningkatkan keyakinan bersama terhadap sistem kawal selia keselamatan makanan dan pertanian kedua-dua negara.
Malaysia turut menyatakan hasrat untuk meneroka peluang kerjasama dalam beberapa bidang strategik seperti pengeluaran jagung bijirin (grain corn) bagi keperluan makanan ternakan, pemerkasaan mekanisasi dan automasi pertanian, serta penerapan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor agromakanan negara.
Selain itu, potensi pembangunan tanaman kubis bulat di kawasan tanah rendah turut dibincangkan sebagai antara usaha memperkukuh pengeluaran makanan domestik.
YBhg. Datuk Seri Isham juga mengalu-alukan pelaburan dari AS dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk pembangunan teknologi Internet benda (IoT), serta penambahbaikan varieti benih.
Sehubungan dengan itu, KPKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Pertanian (DOA) dijangka mengadakan lawatan kerja ke AS dalam masa terdekat bagi tujuan penanda aras sistem kawalan kesihatan makanan dan pertanian negara tersebut selaras dengan komitmen yang digariskan di bawah Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (ART).
Sehingga September 2025, jumlah perdagangan pertanian antara Malaysia dengan AS direkodkan mencecah kira-kira RM14.68 bilion meliputi eksport pelbagai produk pertanian utama Malaysia seperti kopi, koko, teh, rempah-ratus dan produk pertanian terproses. Import dari AS pula melibatkan pelbagai produk makanan.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan strategik sektor agromakanan, seiring usaha Malaysia meningkatkan keterjaminan bekalan makanan dan memperkukuh rantaian nilai pertanian negara.
Yang turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob; Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, serta pegawai kanan KPKM.