Diterbitkan pada 6 Januari 2026, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa prestasi bayaran balik cukai sepanjang tahun 2025 mencecah RM22.5 bilion melibatkan sebanyak 3,713,025 kes yang telah berjaya diselesaikan.

Menurut HASiL, jumlah berkenaan merangkumi peruntukan tambahan bayaran balik berjumlah RM3.5 bilion yang diterima pada 25 Disember 2025 hingga 31 Disember 2025, sekali gus mempercepat penyelesaian bayaran balik tertunggak kepada pembayar cukai.

HASiL menjelaskan bahawa dana tambahan RM3.5 bilion tersebut telah diproses sepenuhnya untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai bayaran balik berusia antara satu tahun hingga dua tahun dengan keutamaan diberi kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Susulan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh YAB Perdana Menteri, HASiL turut menyatakan komitmen untuk menyelesaikan bayaran balik cukai yang berbangkit bagi Tahun Taksiran 2023 pada suku pertama tahun 2026, manakala bayaran balik bagi Tahun Taksiran 2024 disasarkan untuk diselesaikan menjelang hujung tahun 2026.

Dalam pada itu, HASiL menasihatkan pembayar cukai supaya sentiasa mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan adalah tepat dan terkini bagi melancarkan proses bayaran balik.

Terdapat kes bayaran balik yang tidak dapat diproses akibat kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang sah, selain kes yang melibatkan pertikaian mahkamah, tunggakan cukai bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang telah digulung atau dibubarkan.

HASiL menegaskan bahawa pihaknya akan terus memastikan bayaran balik cukai diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dengan penekanan khusus diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh dikemukakan melalui;

  1. Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-89111000 atau 603-89111000 bagi panggilan dari luar negara;
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas melalui portal rasmi HASiL menerusi pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi