Diterbitkan pada 6 Januari 2026, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau —Penganjuran New Business Venture Analysis (NEBUVA) Competition Vol. 21 oleh Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis membuktikan komitmen berterusan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan usahawan muda yang berdaya saing dan peka terhadap kelestarian alam sekitar.

Program yang berlangsung secara bersemuka di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis itu merupakan sebahagian daripada penilaian kursus New Product Development (ENT600) dan melibatkan hampir 76 projek kumpulan daripada pelbagai fakulti. Penganjuran ini turut mendapat sokongan pelibatan juri profesional bagi memastikan proses penilaian lebih menyeluruh dan berkualiti.

NEBUVA Vol. 21 berperanan sebagai platform strategik dalam membentuk pemikiran keusahawanan pelajar agar selari dengan keperluan industri semasa. Melalui pendekatan penilaian yang berfokus, para pelajar bukan sahaja membentangkan idea produk, malah mengemukakan perancangan penubuhan syarikat baharu secara tersusun, profesional dan meyakinkan.

Keunikan penganjuran kali ini terserlah melalui penerapan tema “Green Environment Technology–Sustainable Solution with Smarter Innovation” yang mencabar peserta menghasilkan cadangan perniagaan berteraskan inovasi hijau. Penilaian dibuat berdasarkan pematuhan terhadap prinsip teknologi hijau termasuk pemilihan bahan mesra alam, proses dan sistem pengeluaran, kecekapan tenaga, pengurusan sisa, inovasi pintar, serta aspek kelestarian menyeluruh.

Majoriti peserta berjaya mengintegrasikan elemen teknologi hijau dalam produk yang dicadangkan, sama ada melalui penggunaan bahan lestari, pendekatan pengurangan sisa, sistem pintar mahupun amalan kecekapan tenaga. Perkembangan ini mencerminkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan pelajar terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar dalam dunia keusahawanan moden.

Selain penilaian markah, sesi penjurian turut menekankan pemberian maklum balas dan cadangan penambahbaikan secara konstruktif bagi membantu pelajar menilai kebolehlaksanaan idea, serta potensi pasaran.

Secara keseluruhannya, NEBUVA Vol. 21 dilihat sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam melahirkan graduan yang kreatif, beretika dan bersedia menjadi pemangkin perubahan ke arah pembangunan ekonomi yang lebih mampan.

Sesi penjurian NEBUVA Vol. 21 menjadi wadah penilaian dan perkongsian ilmu antara juri dengan pelajar dalam memperkukuh pemikiran keusahawanan lestari berasaskan teknologi hijau.
NEBUVA Vol. 21 menjadi platform pemerkasaan usahawan muda UiTM melalui penghasilan idea perniagaan berteraskan teknologi hijau dan penyelesaian lestari.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi