Diterbitkan pada 5 Januari 2026, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Permohonan geran Program Agropreneur NextGen, inisiatif di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mula dibuka mulai 2 Januari 2025.

Menurut Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), bermula tahun 2026, program tersebut diperkenalkan dengan penjenamaan semula sebagai satu inisiatif strategik kerajaan bagi memperkasakan pelibatan belia dalam sektor agromakanan negara.

DOA memaklumkan bahawa program ini dirangka khusus untuk menarik lebih ramai belia menceburi atau mengembangkan projek dalam bidang tanaman, ternakan dan perikanan secara lebih tersusun, mampan dan berdaya saing.

Menerusi penjenamaan baharu itu, Agropreneur NextGen menawarkan bantuan geran dalam bentuk barangan bagi menyokong keperluan projek pada peringkat permulaan dan pengembangan.

Bagi kategori “Start-Up”, bantuan disediakan sehingga RM30,000, manakala kategori “Scale-Up” pula menawarkan sokongan sehingga RM50,000 bergantung pada keperluan dan skop projek yang dicadangkan.

Menurut DOA, pendekatan tersebut bertujuan memastikan bantuan yang disalurkan memberikan impak langsung kepada peningkatan produktiviti dan kelestarian projek usahawan tani belia.

Proses permohonan turut dipermudah melalui tiga langkah utama, iaitu pendaftaran akaun menerusi portal eGAN, melengkapkan borang permohonan dan seterusnya menghantar permohonan untuk penilaian oleh jabatan pembimbing.

DOA turut memaklumkan bahawa permohonan dibuka sepanjang tahun, sekali gus memberikan ruang dan fleksibiliti kepada belia untuk merancang dan mengemukakan permohonan mengikut kesediaan masing-masing.

Secara keseluruhan, tahun 2026 menandakan era baharu sokongan KPKM terhadap pembangunan usahawan tani belia selaras dengan agenda memperkukuh keterjaminan makanan negara, serta melahirkan generasi usahawan tani yang inovatif dan berdaya tahan.

Maklumat lanjut dan borang pendaftaran boleh diperoleh melalui pautan https://t.me/mydoa_hq/2277

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi