Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) melantik semula tiga orang ahli Majlis Penasihat Syariah (SAC) bagi tempoh perkhidmatan bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028.
Tiga ahli yang dilantik semula ialah YBhg. Dato’ Profesor Dr. Ashraf Md Hashim dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), YBrs. Profesor Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Encik Burhanuddin Lukman yang merupakan perunding syariah bebas.
Pelantikan semula tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009. Bermula tahun 2026, SAC akan dianggotai oleh lapan orang ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang syariah, kewangan Islam, perakaunan, audit dan undang-undang.
Lima orang ahli sedia ada yang terus kekal berkhidmat ialah Mufti Selangor, YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir; YBrs. Dr. Marjan Muhammad dari Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA); YBrs. Dr. Ahmad Basri Ibrahim dari Permodalan Nasional Berhad (PNB); YBrs. Profesor Dr. Amir Shaharuddin dari INCEIF dan YBrs. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman yang juga ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
SAC merupakan badan tertinggi yang berautoriti dalam menentukan hukum syariah bagi urusan kewangan Islam di Malaysia. Majlis ini memainkan peranan penting bagi memastikan kepastian syariah dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam negara.
Keputusan yang dikeluarkan oleh SAC menjadi rujukan utama bagi institusi kewangan Islam dalam memastikan operasi perniagaan mematuhi prinsip syariah. Keputusan ini turut boleh dijadikan panduan oleh mahkamah dan pihak pembuat keputusan berkaitan dengannya.
Dalam perkembangan sama, BNM juga turut merakamkan penghargaan kepada YBhg. Datuk Profesor Dr. Mohamad Akram Laldin yang menamatkan perkhidmatan beliau sebagai ahli SAC pada 31 Disember 2025 selepas berkhidmat sejak 1 November 2008.
Gabenor BNM, YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, SAC telah memberikan sumbangan besar bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam global.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, YBhg. Datuk Profesor Dr. Mohamad Akram Laldin telah menyumbang secara signifikan kepada SAC. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen dan dedikasi beliau,” ujar beliau.