Diterbitkan pada 2 Januari 2026, 09:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa Program Memfail Borang Nyata (BN) bagi Tahun 2026 kini telah dimuat naik dan boleh diakses melalui portal rasmi HASiL sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai untuk mengemukakan BN pada tahun ini.

Dokumen berkenaan boleh dimuat turun dengan melayari portal rasmi www.hasil.gov.my, seterusnya memilih menu Borang > Program Memfail Borang Nyata > Program Memfail Borang Nyata (BN) Bagi Tahun 2026, atau melalui capaian pantas menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/media/02mbu5fw/program-memfail-bn-bagi-tahun-2026.pdf.

Bagi memudahkan proses pelaporan cukai, majikan digalakkan untuk mengemukakan butiran saraan dan potongan pekerja melalui sistem e-C.P8D selewat-lewatnya pada 25 Februari 2026.

Maklumat saraan yang diterima akan digunakan bagi tujuan “praisi” ke dalam e-Borang pekerja, iaitu e-BE, e-B, e-BT, e-M dan e-MT bagi Tahun Taksiran (TT) 2025, sekali gus memudahkan proses “e-Filing” yang bermula pada 1 Mac 2026. Pekerja turut dibenarkan menyemak dan membuat pindaan terhadap data “praisi” tersebut sebelum borang ditandatangani dan dihantar.

Selain itu, bermula TT 2025 (asas tahun semasa), Sistem Taksir Sendiri (STS) diperkenalkan kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perniagaan Labuan selaras dengan pindaan kepada Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990.

Pelaksanaan STS ini bertujuan menyeragamkan sistem taksiran cukai di Labuan supaya selari dengan sistem taksiran di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.

Maklumat lanjut mengenai perkara ini boleh diakses melalui pautan https://www.hasil.gov.my/borang/program-memfail-penyata-keuntungan-oleh-suatu-entiti-labuan-bagi-tahun-taksiran-2025-di-bawah-sistem-taksir-sendiri/.

Selaras dengan pelaksanaan keperluan pengemukaan dokumen di bawah Seksyen 82B Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi pembayar cukai kategori Syarikat (C) dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PT) mulai TT 2025, keperluan tersebut akan diperluas kepada kategori Unit Amanah/Amanah Harta Tanah (TC), Koperasi (CS), Badan Amanah (TA) dan Amanah Pelaburan Harta Tanah atau Tabung Amanah Harta (TR) mulai TT 2026.

Sebagai panduan dan rujukan, maklumat berkaitan dengan pelaksanaan Program Memfail Dokumen Yang Ditentukan di bawah Seksyen 82B boleh diakses melalui portal MyTax menerusi https://mytax.hasil.gov.my/.

HASiL menegaskan komitmen untuk terus memperkasakan sokongan dan bimbingan kepada pembayar cukai bagi memastikan pelaksanaan tanggungjawab percukaian dapat dilakukan secara telus dan efisien.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disalurkan melalui:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-89111000 atau 603-89111000 bagi panggilan dari luar negara;
  2. Perkhidmatan HASiL Live Chat, dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL melalui pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi