Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rizab antarabangsa Malaysia kekal kukuh pada paras USD124.1 bilion (kira-kira RM556 bilion) setakat akhir November 2025, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM memaklumkan bahawa kedudukan rizab yang stabil itu mencerminkan keupayaan negara untuk menampung keperluan pembiayaan luar dan menghadapi sebarang kejutan ekonomi global yang tidak dijangka.
Menurut kenyataan tersebut, rizab rasmi negara berjumlah USD124,121.5 juta, manakala aset mata wang asing lain direkodkan sebanyak USD266.2 juta.
Bagi tempoh 12 bulan akan datang, kerajaan dan BNM dijangka berdepan dengan aliran keluar jangka pendek terancang berjumlah USD13,188.2 juta yang merangkumi pembayaran balik pinjaman luar negara kerajaan dan kematangan bil antara bank pusat dalam mata wang asing.
Dalam tempoh yang sama, negara turut dijangka menerima aliran masuk mata wang asing sebanyak USD2,914.1, terutamanya daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
BNM turut melaporkan kedudukan hadapan bersih jualan sebanyak USD21,024.2 juta yang mencerminkan langkah pengurusan kecairan ringgit oleh bank pusat dalam pasaran kewangan.
Dari segi liabiliti luar jangka, satu-satunya komitmen berpotensi ke atas aset mata wang asing negara ialah jaminan kerajaan terhadap hutang mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh setahun berjumlah USD417 juta.
BNM menegaskan bahawa tiada pinjaman mata wang asing dengan opsyen tambahan dan bank pusat tidak terlibat dalam sebarang urus niaga pilihan mata wang asing berbanding dengan ringgit.
Secara keseluruhannya, laporan BNM di bawah kerangka Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa mengesahkan bahawa rizab antarabangsa Malaysia pada akhir November 2025 kekal boleh digunakan dan berada pada tahap yang memuaskan untuk menyokong kestabilan ekonomi negara.
Kedudukan rizab yang kukuh ini turut memberikan keyakinan kepada pelabur dan pasaran kewangan terhadap keupayaan Malaysia mengurus ekonominya secara berhemat.